UEM Sunrise, Eco World berpotensi digabungkan

Ecoworld dan UEM Sunrise
Ecoworld dan UEM Sunrise
A
A
A

KUALA LUMPUR – UEM Group Berhad (UEM Group) mencadangkan supaya UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) dan Eco World Development Group Berhad (Eco World) memulakan perbincangan bagi menerokai potensi penggabungan.

UEM Group yang merupakan anak syarikat dimiliki sepenuhnya Khazanah Nasional Berhad telah mengemukakan surat cadangan tersebut kepada lembaga pengarah kedua-dua syarikat berkenaan.

UEM Group dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan cadangan penggabungan itu dijangka membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia.

Menurut UEM Group, syarikat terbabit akan memiliki kepakaran unggul merentasi pelbagai tawaran produk dengan keupayaan kukuh dalam setiap segmen industri hartanah bagi meneruskan penciptaan nilai dan pertumbuhan dalam jangka masa panjang.

"Mengambil kira situasi makro-ekonomi mencabar yang dikeruhkan lagi dengan wabak pandemik koronavirus (Covid-19), wujudnya keperluan mendesak bagi syarikat pembangunan hartanah tempatan untuk menambah baik keutuhan perniagaan masing-masing menerusi perkongsian sumber dan keupayaan.

"UEM Group yang memiliki sehingga 66.1 peratus pegangan dalam UEM Sunrise telah meneroka kemungkinan penggabungan dengan beberapa syarikat pembangunan hartanah lain.

"Setelah diperhalusi, potensi penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World dinilai sebagai cadangan yang memiliki manfaat paling besar," menurut kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, UEM Group menjelaskan bahawa cadangan penggabungan itu memberi peluag kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk bekerjasama dengan sektor swasta bagi membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia dengan unjuran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM173.2 bilion dan aset tanah melebihi 6879.65 hektar dalam negara.

Artikel Berkaitan: