X

Kindly register in order to view this article
!

Najib jalani kuarantin di rumah, kes 1MDB ditangguhkan

Muhammad Shafee hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - FOTO ROSLI TALIB
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram sehingga 19 Oktober ini kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pekan itu melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menyatakan Najib perlu mengikut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari bermula 28 September lalu hingga 12 Oktober ini.

“Yang Arif, saya ingin memaklumkan kesan daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 mengundang peningkatan kes Covid-19 (koronavirus).

“Ketika saya tanya pada anak guam (Najib), adakah beliau terdedah? Dia kata ya tetapi beliau tidak tahu sejauh mana terlibat dengan individu yang dijangkiti penyakit berkenaan,” katanya ketika pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Muhammad Shafee berkata, Najib menjalani ujian Covid-19 pada 22 September lalu di Pantai Hospital, Sabah dan ujian kali kedua pada 27 Oktober, sejurus tiba di Kuala Lumpur dengan kedua-dua keputusannya ada negatif.

Meskipun keputusan ujian adalah negatif, Muhammad Shafee berkata, anak guamnya tetap perlu menjalani kuarantin selama dua minggu dengan mengambil kira kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Menteri Kanan Keselamatan berkata, mana-mana pihak yang berada di lokasi berisiko, mereka perlu menjalani HSO selama 14 hari," kata Muhammad Shafee.

Mengenangkan kebimbangan mengenai isu berkenaan, selain menjalani HSO, beliau berkata, Najib juga mengikuti program peningkatan tahap imun.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustapa P Kunyalam berkata, pihak pendakwaan menyerahkan kepada Sequerah untuk memutuskan perkara berkenaan.

Justeru, Sequerah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melapangkan perbicaraan sehingga 19 Oktober ini.

“Biasanya, pada hari ke-13 gejala Covid-19 mungkin lebih nyata, maka saya membenarkan permintaan itu.

“Memandangkan keadaan semasa ketika ini agak berisiko, perbicaraan bermula Isnin hingga Khamis dilapangkan,” katanya.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana syarikat 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!