X

Kindly register in order to view this article
!

Pengurusan kes rayuan pendakwaan terhadap Siti Kasim 2 November

Siti Kasim
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 2 November depan untuk pengurusan kes berhubung rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Siti Kasim atas pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada satu acara di sebuah hotel pada 2016.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Abdul Razak selaku perayu kepada media di luar mahkamah, selepas pengurusan kes itu dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad di sini, hari ini.

“Pihak perayu hadir ke mahkamah hari ini, bagaimanapun pihak responden (Siti Kasim) tidak hadir.

“Oleh yang demikian, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes yang baharu pada 2 November ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi sama untuk kedua-dua pihak hadir semula,” katanya kepada pemberita.

Pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan peguam dan aktivis Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 57, daripada pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada satu acara di sebuah hotel pada 2016.

Majistret, Tawfiq Affandy Chin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di akhir kes pendakwaan terhadap Siti Kassim.

Mengikut pertuduhan, Siti Kasim didakwa dengan sengaja menghalang pegawai Jawi, Siti Nor Jihan Saleh @ Md Ghazali, 40, dalam melaksanakan tugasnya di sebuah hotel, di sini, pada 10.30 malam, 3 April 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, acara tersebut merupakan majlis makan malam tertutup yang melibatkan komuniti transgender di sebuah hotel di sini.

Seramai enam saksi pendakwaan termasuk mangsa iaitu pegawai JAWI dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraan yang bermula pada 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Kasim lepas, bebas tuduhan halang tugas pegawai Jawi

Halang tugas Jawi, pendakwaan rayu terhadap pembebasan Siti Kasim


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!