'Saya tahu Solskjaer tak boleh tidur lena'

Mourinho (kanan) simpati dengan nasib Solskjaer.
Mourinho (kanan) simpati dengan nasib Solskjaer.
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotpsur, Jose Mourinho bersimpati dengan nasib Manchester United selepas diaibkan 6-1 oleh pasukan kendaliannya dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi tadi.

Menurutnya, dia mengerti kekecewaan yang dialami pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer dan menegaskan bahawa The Red Devils tidak bernasib baik untuk tewas besar dalam perlawanan tersebut.

"Saya simpati dengan Solskjaer berdasarkan keputusan ini. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya kalah dengan jaringan besar, tetapi saya tahu ia sangat menyakitkan.

"Sudah tentu ramai yang akan menganggap saya tidak perlu bersimpati kerana ini adat perlawanan. Saya memang gembira dengan kemenangan besar ini. Jangan salah faham.

"Tetapi saya bersimpati kerana hari ini adalah hari dia dan mungkin esok hari saya pula mengalami kekalahan besar. Saya boleh bayangkan dia (Solskjaer) tidak dapat tidur lena malam ini. Tetapi inilah kehidupan dalam bola sepak," katanya.

Kekalahan besar itu dilihat bakal merumitkan lagi masa depan Solskjaer di United, namun Mourinho menyifatkan pengendali kelahiran Norway itu telah melakukan tugasnya dengan baik melatih The Red Devils.

"Saya melihat pasukan United dan nampak banyak perubahan sejak saya dipecat pada 2018. Mereka mempunyai pemain yang baik dan membeli banyak pemain muda. Jika benar Edinson Cavani akan sertai United, ia akan memberi lebih kekuatan kepada pasukan.

"Manchester United adalah Manchester United. Kekalahan itu tidak akan menghancurkan pasukan dan mereka akan bangkit. Saya yakin Solskajer ada cara untuk membawa pasukan lebih cemerlang musim ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Liverpool, MU berkongsi derita jadi mangsa belasahan