Tak wajar PRN Sarawak ketika ini

Abang Johari (kiri), Mujibu dan Achmad Dzariean
Abang Johari (kiri), Mujibu dan Achmad Dzariean
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak wajar diadakan ketika pandemik koronavirus (Covid-19) dalam negara menunjukkan peningkatan mendadak.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, apa yang berlaku pada PRN Sabah baru-baru ini perlu dijadikan iktibar.

“Barangkali tidak wajar untuk melakukannya (PRN Sarawak) sekarang setelah apa yang berlaku selepas PRN Sabah.

“Jelas PRN berskala besar memperlihatkan bagaimana pengundi masih terdedah dengan ancaman Covid-19. Walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) bagi pengundi, namun ia tidak mampu mengekang penularan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wajar atau tidak PRN Sarawak diadakan dalam tempoh pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan ketika ini.

Mujibu bagaimanapun berkata, kemungkinan PRN Sarawak tetap akan diadakan dalam masa terdekat ini dengan mengambil kira tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan berakhir pada bulan Jun tahun depan.

“Jangkaan saya mungkin tahun depan memandangkan mandat kerajaan akan berakhir pada tahun 2021. Tapi terpulang kepada kerajaan untuk membubarkan DUN pada bila-bila masa.

“Cuma barangkali Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh memikirkan mekanisme alternatif bagi memudahkan pengundi mengundi tanpa perlu keluar rumah kerana melihat kepada jumlah pengundian yang rendah di Sabah disebabkan pengundi takut dan enggan mengundi,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri pula mempunyai pandangan yang berbeza.

Beliau berkata, suka atau tidak, PRN Sarawak dijangka tetap dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

“PRN Sarawak (dijangka) akan diadakan bila-bila masa mengikut kenyataan Ketua Menteri Sarawak dan sedang hangat diperkatakan bahawa ia akan berlangsung pada bulan November atau Disember.

“PRN Sarawak sememangnya perlu diadakan. Mahu atau tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa proses demokrasi ini perlu berjalan dan meskipun kita mengetahui bahawa pandemik Covid-19 belum berakhir,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan PRN Sarawak sebenarnya memang sangat dituntut kerana tempoh akhirnya adalah pada tahun 2021.

“Kita harus faham bahawa selepas daripada tarikh matang tempoh DUN Sarawak kita sebenarnya tidak boleh untuk mengadakan PRN dan sebenarnya ini akan memberikan pelbagai impak.

“Ia terutamanya dari segi kelicinan pentadbiran kerajaan negeri, impak kewangan, pelbagai impak lagi yang akan timbul sekiranya kita tidak mengadakan PRN sebelum tempoh tamat matang DUN Sarawak berlaku,” katanya.

Katanya, sekiranya PRN Sarawak tetap dilakukan dalam tempoh pandemik yang masih membimbangkan, SPR disaran untuk mengambil contoh pelaksanaan pilihan raya di Singapura baru-baru ini.

“Singapura mengamalkan SOP yang cukup ketat ketika pilihan raya berlangsung. Ia melibatkan dari segi pelbagai perkara yang berkaitan pilihan raya, dari segi kempen, penamaan calon dan proses ini sepatutnya dijadikan contoh (apa dilakukan Singapura) buat kita,” katanya.

Kelmarin, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg membayangkan bahawa negeri Sarawak bakal mengadakan pilihan raya negeri bila-bila masa dari sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: Konvensyen khas PBB petanda PRN Sarawak makin hampir

Abang Johari yang juga merupakan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberitahu perwakilan partinya setelah melengkapkan tiga pusingan bagi konvensyen PBB.

“Apabila gendang dipalu dengan kayu bila-bila masa sahaja dari sekarang, kita mesti keluar untuk mempertahankan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya,” katanya seperti dipetik di sebuah portal berita di sini kelmarin.

Pada PRN-11 yang diadakan pada 2016, empat parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak telah memenangi 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seterusnya, empat parti komponen itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) mengumumkan keluar dari BN pada 12 Jun 2018 susulan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.