LUAS kesan bau bangkai di Sungai Pajam

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan terdapat bau seperti bangkai di Sungai Pajam sewaktu siasatan dijalankan susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat hari ini.

LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan, pencemaran bau itu menyebabkan loji pembersihan air (LPA) Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas pada jam 4.30 petang hari ini.

Menurut kenyataan itu, bau sehingga empat ton dikesan di muka sauk LPA Sungai Semenyih dan tiga ton di Bukit Tampoi.

"LUAS telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat.

"Siasatan dijalankan di Sungai Pajam dan pemantauan diteruskan di kawasan Sungai Batang Benar bagi mengenal pasti potensi punca bau," kata kenyataan itu.

Menurut LUAS, anggaran jarak dari lokasi siasatan ke muka sauk LPA Sungai Semenyih dianggarkan sejauh 15 kilometer.

"LUAS sedang melaksanakan langkah pengepaman air di Tasik Idaman Sungai Buah ke Sungai Semenyih untuk meningkatkan kadar pencairan.

"LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) serta agensi terlibat juga sedang bertungkus-lumus menjalankan siasatan dan langkah mitigasi bagi menangani insiden ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA N9) juga telah dimaklumkan untuk bersama-sama menjalankan siasatan di kawasan Negeri Sembilan.

"LUAS dan Air Selangor sedang meneruskan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

"Selain itu pemantauan rapi dari semasa ke semasa juga sedang dilakukan," katanya.

Air Selangor hari ini memaklumkan 309,605 akaun pengguna di 273 kawasan membabitkan empat daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dijangka berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elena Baseri berkata, LRA Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan daripada insiden pencemaran tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat daerah berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual