Penunggang basikal tidak kebal undang-undang

Biarpun polis menjelaskan bahawa mana-mana individu yang menunggang basikal di lebuh raya boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 kerana ingkar arahan sekatan serta larangan di atas jalan tertentu, tetapi ia tetap dilakukan tanpa rasa bersalah.
Biarpun polis menjelaskan bahawa mana-mana individu yang menunggang basikal di lebuh raya boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 kerana ingkar arahan sekatan serta larangan di atas jalan tertentu, tetapi ia tetap dilakukan tanpa rasa bersalah.
A
A
A

Sebelum ini aktiviti basikal lajak dalam kalangan pelajar sekolah rendah menjadi isu yang kerap diperkatakan masyarakat umum kerana cara menunggang berbahaya seperti lagak Superman bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada penunggangnya, malah kepada pengguna jalan raya lain.

Operasi Basikal Lajak juga sering dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penahanan penunggang manakala basikal yang diubahsuai turut disita.

Bagaimanapun, kisah basikal lajak itu sedikit tenggelam apabila aktiviti menunggang basikal secara berkumpulan di jalan raya menjadi satu trend baharu rakyat Malaysia.

Ia telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ada yang merasakan kumpulan ini mendatangkan bahaya kepada pengguna lain kerana bukan sahaja menunggang dalam bandar malah di lebuh raya utama negara seperti yang tular sebelum ini. Pada Februari tahun lalu, seorang penunggang motosikal cedera parah setelah kenderaan yang ditungganginya merempuh dua buah basikal di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) menghala utara berhampiran dengan Ijok.

Biarpun polis menjelaskan bahawa mana-mana individu yang menunggang basikal di lebuh raya boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 kerana ingkar arahan sekatan serta larangan di atas jalan tertentu, tetapi ia tetap dilakukan tanpa rasa bersalah.

Pelbagai video dan gambar dirakam menunjukkan cara berbasikal berbahaya tanpa mengambil kira aspek keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain tersebar di media sosial hingga menimbulkan perdebatan antara warganet.

Tidak ketinggalan ada antara pengguna media sosial mempersoalkan apakah beza antara penunggang basikal lajak dengan penunggang basikal mewah ini? Adakah mereka ini kebal daripada tindakan undang-undang apabila melanggar lampu isyarat merah dan tidak menunggang di kawasan yang dibenarkan untuk berbasikal?

Polis juga sebelum ini menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap kumpulan penunggang basikal yang tidak berbasikal dalam satu barisan atau berkelompok di jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Peguam M Hafiz Zainul Abidin berkata, basikal merupakan sejenis kenderaan yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana terdapat peruntukan bagi kesalahan yang melibatkan penunggangnya.

“Basikal dalam definisi akta ini adalah termasuk juga basikal elektrik dan juga trisikal. Seksyen 54 Akta ini memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang tertakluk dan terpakai kepada pengguna dan penunggang basikal.

“Jelas daripada seksyen ini bahawa pengguna dan penunggang basikal tidak terlepas daripada penguatkuasaan dan bidang kuasa akta ini.

“Kesalahan seperti memandu laju atau melulu seperti kenderaan lain juga boleh dikenakan kepada penunggang basikal seandainya melakukan kesalahan sepertimana dalam peruntukan ini,” katanya.

Hak sama

Beliau berkata, pada dasarnya, penunggang basikal sama di sisi undang-undang jalan raya dengan pengguna yang lain.

“Dalam perkara ini penunggang basikal mempunyai hak yang sama rata untuk menggunakan jalan raya dengan pengguna yang lain.

“Pokok pangkalnya penunggang basikal merupakan satu entiti yang sah dari segi undang untuk berada di mana-mana jalan raya. Menidakkan hak penunggang basikal untuk berbasikal di jalan raya adalah sama sekali melanggar hak-hak setiap individu dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya penunggang basikal melanggar undang-undang jalan raya seperti mana pengguna yang lain, mereka boleh dikenakan tindakan sama.

“Hukuman yang bakal diterima adalah sama seperti pengguna jalan raya yang lain juga,” katanya.

Apa pun alasan bagi aktiviti menunggang berbasikal dilakukan, soal bertolak ansur, aspek keselamatan, mengikuti peraturan yang ditetapkan dan mengetahui had seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan perlu diambil kira.

Nyawa setiap pengguna jalan raya tidak boleh diperjudikan. Jangan sampai ada yang kehilangan nyawa dan akhirnya semua pihak saling menuding jari antara satu sama lain.

* Mohd Hafiz Ismail ialah wartawan Sinar Harian Edisi Nasional