Fikir kesan daripada setiap keputusan

Keputusan menangguhkan proses pendaftaran pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibuat pada saat-saat akhir menyebabkan ramai pelajar, ibu bapa dan keluarga mereka menghadapi kesulitan. Gambar hiasan .
Keputusan menangguhkan proses pendaftaran pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibuat pada saat-saat akhir menyebabkan ramai pelajar, ibu bapa dan keluarga mereka menghadapi kesulitan. Gambar hiasan .
A
A
A

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad sudah memohon maaf kerana keputusan menangguhkan proses pendaftaran pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibuat pada saat-saat akhir menyebabkan ramai pelajar, ibu bapa dan keluarga mereka menghadapi kesulitan.

Penyesalan menteri itu barangkali masih belum dapat mengubati kemarahan mereka yang terkesan dengan keputusan berkenaan.

Rata-rata pelajar dan ibu bapa marah kerana untuk mendaftar masuk ke universiti bukan mudah kerana ia memerlukan persediaan seperti tempat tinggal, pengangkutan dan sebagainya.

Sudah pasti banyak wang yang lebur disebabkan keputusan tersebut.

Di pihak menteri pula, mereka sudah semestinya mahu bertindak segera untuk mengekang penyebaran Covid-19 daripada terus merebak.

Menteri juga tidak menjangkakan kes Covid-19 meningkat terlalu mendadak.

Jika disoroti dua tahun lalu, pengumuman Menteri Pendidikan pada ketika itu, Dr Maszlee Malik mengenai pemakaian kasut hitam bagi menggantikan kasut putih oleh pelajar sekolah juga mendapat reaksi bercampur-campur.

Ada yang tidak bersetuju dan ada juga peniaga yang kerugian kerana kasut putih sudah tidak laku lagi.

Artikel Berkaitan:

Namun, ramai juga ibu bapa yang gembira dengan keputusan itu kerana tidak lagi dibelenggu masalah untuk membasuh kasut putih.

Semua sedia maklum, setiap keputusan yang dibuat sama ada menteri, kementerian, ketua jabatan, bos atau sesiapa sahaja yang berkuasa pasti mempunyai kesan positif dan negatif.

Namun yang perlu diberi perhatian pada masa depan, dalam setiap keputusan yang dilakukan perlu difikirkan dengan sedalamnya impak setiap keputusan yang dibuat.

Misalnya, dalam isu penangguhan pendaftaran pelajar IPT, adakah dengan membenarkan pendaftaran pelajar, kesannya lebih mudarat daripada menangguhkan pendaftaran?

Senaraikan kesan jangka pendek dan jangka panjang supaya setiap keputusan tidak terlalu membebankan sebelah pihak sahaja.

Di sini perlunya kumpulan penasihat yang bijaksana untuk menasihatkan ‘orang berkuasa’ supaya keputusan yang diambil lebih banyak nilai positif berbanding negatif.