Rakyat jangan leka, patuhi SOP Covid-19: Dr Adham

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyampaikan sijil penghargaan kepada jawatankuasa Combi Kebangsaan yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Combi Kebangsaan Isa Paksun (kiri) pada Majlis Perasmian Penutup Sesi Town Hall Pembudayaan Norma Baharu dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan COVID-19 bersama Pemimpin Combi hari ini. Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu (kanan). Foto: Bernama

A
A
A

KOTA TINGGI - Masyarakat diingatkan tidak leka mengamalkan normal baharu bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid- 19).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, masyarakat sedar punca dan cara mengekang jangkitan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Katanya, ketika itu ramai yang mendengar nasihat penjagaan diri, mencuci tangan, mengamalkan penjarakkan sosial, mengelak 3S (sesak, sempit dan bersembang dalam jarak yang dekat).

"Bagaimanapun, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan amalan ini belum menjadi budaya. Ada yang bersesak-sesak ketika membeli-belah dan menggunakan lif selain tidak memakai pelitup muka. Bagaikan tidak takut maut.

"Mereka hanya risau dan takut apabila mendengar kes meningkat dan apabila ada penguatkuasaan (PKPD) di tempat tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Sesi Townhall Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Covid-19 Bersama Pemimpin Combi di Desaru di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKK, Dr Nurhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu.

Menurut Dr Adham amalan itu perlu diterapkan dalam normal baharu mengekang Covid-19 dan bukannya hanya ketika berlaku peningkatan kes Covid itu.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, KKM berharap ahli Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) dapat menjadi sukarelawan bagi meningkatkan kesedaran terhadap norma baharu dalam kalangan anggota masyarakat.

"Sehingga September 2020, terdapat sebanyak 3,007 pasukan Combi di seluruh negara membabitkan 26,191 sukarelawan.

"Sementara di Johor ada 25 pasukan Combi yang berdaftar dengan penglibatan seramai 1,530 sukarelawan," katanya.