Perbincangan buka sempadan Malaysia-Singapura diteruskan

Mustapa melawat satu keluarga daripada golongan B40 di Rumah Pangsa Larkin, Johor Bahru, hari ini.
Mustapa melawat satu keluarga daripada golongan B40 di Rumah Pangsa Larkin, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perbincangan pembukaan sempadan Malaysia -Singapura tetap diteruskan walaupun koronavirus (Covid-19) meningkat sejak beberapa hari lalu terutama di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana penutupan sempadan memberi kesan terhadap ekonomi negara khususnya Johor.

"Kita sedia maklum Johor terkesan dengan penutupan sempadan dan perkara itu telah dibangkitkan beberapa kali oleh Menteri Besar (Datuk Ir Hasni Mohammad). Ini satu perkara yang sentiasa dibincangkan di peringkat Pusat.

"Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Isnin lalu membincangkan topik pelancongan di mana 50 peratus merupakan pelancong dari Singapura, ini juga dibincangkan," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Rumah Pangsa Larkin, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri.

Mustapa berkata, penutupan sempadan berkenaan membabitkan dua perkara utama iaitu ketiadaan kemasukan warga Singapura dan ketidakupayaan rakyat Malaysia bekerja di Singapura.

Situasi itu katanya, menyebabkan rakyat Singapura tidak boleh masuk melancong dan membeli-belah di Johor manakala rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu hilang punca pendapatan.

"Kita faham Covid-19 ini menimbulkan banyak masalah namun perlu ada keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, kerajaan turut berharap pembukaan sempadan dapat dilaksanakan secara berperingkat dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Sementara itu, Mustapa meluangkan masa menziarahi tiga keluarga daripada golongan B40 selain mendengar masalah dibangkitkan penduduk rumah pangsa berkenaan.