UMT tangguh kemasukan pelajar

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan lama bagi sesi 2020/2021 ke kampus, yang dijadualkan bermula hari ini sehingga 8 Oktober depan.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan lama bagi sesi 2020/2021 ke kampus, yang dijadualkan bermula hari ini sehingga 8 Oktober depan.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan lama bagi sesi 2020/2021 ke kampus, yang dijadualkan bermula hari ini sehingga 8 Oktober depan.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, langkah itu adalah selaras dengan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2 Oktober lalu yang mencadangkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi pelajar-pelajar baharu dan senior ke kampus.

Menurutnya, bilangan pelajar baharu universiti itu yang telah mendaftar untuk sesi 2020/2021 berjumlah 2,480 pelajar, iaitu 94 peratus daripada jumlah tempat yang ditawarkan sebanyak 2,628 tempat.

“Minggu Jalinan Mesra (MJM) telah dilaksanakan dari 27 September sehingga 29 September 2020, manakala Majlis Ikrar Pelajar Baharu berjaya dilaksanakan pada 29 September lalu melalui aplikasi Webex dan secara maya (dalam talian) yang dihadiri oleh lebih daripada 2,000 pelajar, dekan-dekan dan pegawai-pegawai utama UMT.

“UMT telah mengaturkan jadual pendaftaran pelajar mengikut fakulti secara berfasa bermula pada 4-8 Oktober ini. Berikutan daripada peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) dan arahan daripada pihak KPT, pihak UMT telah memutuskan untuk menangguhkan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mengikut jadual asal, hari ini merupakan hari pertama pelajar mendaftar di kolej kediaman UMT.

Setakat jam dua petang, UMT telah menerima 12 pelajar yang telah mendaftar di kolej kediaman UMT dan daripada jumlah tersebut, dua pelajar telah memilih untuk tinggal di kolej kediaman manakala seramai 623 pelajar dalam kalangan pelajar Asasi STEM, diploma, pelajar antarabangsa dan pemimpin pelajar masih berada di kolej kediaman.

Sementara itu katanya, UMT akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian (online) bagi semua program pengajian, bermula 11 Oktober hingga 31 Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

“Bagi membantu proses PdP dalam talian, UMT dengan kerjasama Yayasan YTL telah menyediakan inisiatif pelan data secara percuma kepada semua pelajar baharu. Maklumat terkini berkenaan inisiatif ini boleh dirujuk di laman Facebook rasmi UMT dari masa ke masa.

“Hampir 300 pelajar telah dikenal pasti tidak mempunyai kemudahan peralatan pembelajaran dalam talian. Untuk tujuan itu, UMT akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada golongan sasar yang telah dikenal pasti,” katanya.

Selain itu, UMT juga telah memperuntukkan lebih RM0.667 juta untuk kebajikan pelajar yang terdiri daripada golongan B40 dan golongan asnaf dan sumbangan kepada golongan sasar itu akan disalurkan dalam masa terdekat.

Katanya, UMT menyambut baik dan menyokong usaha KPT yang berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan berkenaan penjadualan semula tiket penerbangan serta tiket bas pelajar yang terkesan daripada penangguhan ini.

“Untuk maklumat lanjut, pelajar boleh berhubung dengan pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT. Bagi pelajar yang berada di kampus, pihak UMT menyediakan kemudahan kafeteria dan koperasi untuk pelajar bagi pembelian makanan dan keperluan harian.

“UMT prihatin dengan kesihatan emosi para pelajar dengan menyediakan talian khidmat kaunseling yang dapat dihubungi menerusi talian 019-953 0132 (Puan Hainany Idayu).

“Sebarang pertanyaan, maklum balas mahupun apa-apa yang berkaitan dalam situasi semasa, talian Hotline Bilik Gerakan Covid-19 UMT boleh dihubungi menerusi nombor telefon: 09-668 5059 / 4286 / 4296 atau fax: 09-668 5058,” katanya.