Wanita cedera ditumbuk, dipukul suami

Suspek direman empat hari bermula hari ini. Gambar kecil: seorang operator kilang menerima enam jahitan di bibir selepas dipukul suaminya di Taman Kemuning petang semalam.
Suspek direman empat hari bermula hari ini. Gambar kecil: seorang operator kilang menerima enam jahitan di bibir selepas dipukul suaminya di Taman Kemuning petang semalam.
A
A
A

KULIM - Seorang operator kilang cedera di bibir selepas ditumbuk suaminya tanpa sebab di sebuah rumah di Taman Kemuning di sini semalam.

Akibat kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa berusia 45 tahun menerima enam jahitan di bibirnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mangsa mendakwa ditumbuk di bahagian muka tanpa sebab oleh suaminya sebaik sahaja dia pulang ke rumah.

Menurutnya, mangsa juga dipukul dengan sebatang besi dianggarkan berukuran 30.48 sentimeter (cm) di bahagian belakang badan.

"Selepas itu, mangsa melarikan diri dengan menunggang motosikal dan tampil membuat laporan di balai polis.

"Suspek berusia 48 tahun kemudiannya ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di hadapan rumah mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, polis juga merampas sebatang besi dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

"Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri ini sering bergaduh dan mangsa yang kini ditahan di wad sebuah hospital juga mengakui dia sering dipukul suaminya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.