NGO sedia hantar pulang pelajar terkandas secara percuma

Kindness Malaysia bersedia menghantar pelajar IPT di utara yang terkandas di universiti pulang ke kampung halaman masing-masing secara percuma menggunakan van NGO itu.
Kindness Malaysia bersedia menghantar pelajar IPT di utara yang terkandas di universiti pulang ke kampung halaman masing-masing secara percuma menggunakan van NGO itu.
A
A
A

ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO) Kindness Malaysia bersedia menghantar pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di kawasan Utara yang terkandas di universiti pulang ke kampung halaman secara percuma.

Pengerusi Kindness Malaysia, Mohd Azrul Mohd Razak berkata, pihaknya prihatin dengan pelajar yang terkandas selepas kemasukan mereka di universiti ditangguhkan susulan peningkatan mendadak kes koronavirus (Covid-19).

"Kami difahamkan ramai pelajar IPT yang terkandas di universiti sejak semalam.

"Atas rasa keprihatinan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Bank Makanan Malaysia dan Kindness Malaysia sedia menanggung urusan pengangkutan termasuklah kos bahan api dan bayaran tol," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, dua sukarelawan Kindness akan membantu menghantar pelajar di Utara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menaiki kenderaan NGO itu ataupun sebuah kenderaan lain.

"Insya-ALLAH, asalkan mereka tinggal di sekitar Semenanjung kita sanggup ambil pelajar dari universiti sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya.

Mohd Azrul berkata, pihaknya akan menyusun jadual bagi melancarkan dan memudahkan urusan penghantaran pulang pelajar mengikut negeri masing-masing.

"Kita akan hantar antara tiga hingga empat pelajar bagi setiap trip perjalanan mengikut kesesuaian dan muatan van memandangkan kita juga membantu membawa pulang barangan pelajar tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan saat akhir susahkan pelajar IPT

Mahasiswa minta KPT pertimbang pampasan

Katanya, mana-mana pelajar terjejas yang berhasrat pulang ke rumah mereka boleh menghubungi Kindness Malaysia melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-7074798 untuk keterangan lanjut.

"Jikalau ada mana-mana orang awam yang sudi menyalurkan sumbangan untuk tujuan berkenaan juga boleh melakukannya melalui akaun Maybank Pertubuhan Bank Makanan Malaysia 552095236240," katanya.

Kelmarin keputusan mengejut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah Covid-19 di semua IPT seluruh negara mencetuskan kemarahan ramai.

Isu itu juga turut trending di laman sosial apabila masing-masing meluahkan ketidakpuasan hati mereka dengan keputusan singkat diambil KPT memandangkan masing-masing telah membuat persediaan awal.