PKPDB di Penjara Alor Setar bermula tengah malam ini

Ismail Sabri. Foto Bernama
Ismail Sabri. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan Penjara Alor Setar, Kedah, termasuk kuarters kakitangan, selama 14 hari bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPDB itu bertujuan membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di situ selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

"Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan penjara itu. Mengambil kira peningkatan jumlah kes yang berlaku, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPDB secara pentadbiran," katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan tersebut termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 433 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam dengan 345 individu telah dikompaun, 60 direman dan bakinya dijamin.

Beliau berkata, antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (157 orang), aktiviti dalam pub atau kelab malam (126), gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (49), penjarakan fizikal (46), aktiviti perjudian (36), menggaji warga asing tanpa permit yang sah (18), serta satu tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, 76 PATI dan seorang penyeludup ditangkap semalam dalam operasi bersepadu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan agensi-agensi lain yang mengawal ketat sempadan negara.

"Daripada jumlah itu, pasukan ATM Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menahan 27 PATI atas kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta cuba untuk keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar Hotel Tiara, Desaru, Bandar Penawar, Johor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 101 sekatan jalan raya Operasi Benteng juga dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM, Aksem dan ATM.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 40,607 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 67 hotel dan 12 premis lain termasuk institut latihan awam dan institusi pengajian swasta.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 9,138 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 106 orang dihantar ke hospital untuk rawatan, dan 31,363 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Kesemua mereka pulang dari 34 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Ethiopia. - Bernama