Kes denggi menurun di Johor

Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Johor melakukan pemeriksaan bekas dan tempat pembiakan jentik-jentik di Taman Perling, Johor Bahru, hari ini.
Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Johor melakukan pemeriksaan bekas dan tempat pembiakan jentik-jentik di Taman Perling, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kes denggi di negeri ini mencatatkan penurunan iaitu 261 kes minggu ini berbanding 279 kes pada minggu lalu apabila Pejabat Kesihatan Negeri Johor meningkatkan tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI).

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu berkata, OPPI merupakan aktiviti utama di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 untuk memastikan masyarakat peka dan bertanggungjawab menghentikan penularan denggi.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

"Kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan jika terdapat pembiakan jentik-jentik di premis kediaman. Jika gagal membayar kompaun boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Menurut Dr Aman, perkembangan itu menunjukkan keberkesanan Kempen Johor Perangi Denggi 2020 dilancarkan pada 23 Ogos lalu.

"Sehingga 30 September lalu, sebanyak 9,396 kes denggi dilaporkan dengan 35 kematian akibat denggi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aman berkata, sejak semalam Jabatan Kesihatan negeri mengadakan aktiviti OPPI di kawasan wabak denggi di Taman Perling yang merekodkan 219 kes denggi dari awal tahun hingga 26 September lalu.

"Dalam operasi yang dijalankan melibatkan seramai 177 anggota kesihatan pada hari ini pula, 1,507 premis diperiksa dan 20 daripadanya didapati mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik.

Artikel Berkaitan:

"Di persekitaran awam pula, sebanyak 25 tempat pembiakan ditemui termasuk dalam bekas plastik dan pasu bunga terbiar. Sebanyak 1,461 bekas yang berpotensi untuk pembiakan turut dijumpai," katanya.

Katanya, masyarakat perlu memainkan peranan aktif mencari dan memusnahkan tempat-tempat takungan di kediaman mereka yang boleh menjadi pembiakan Aedes termasuk penjagaan kebersihan persekitaran dan pembuangan sampah secara teratur dalam mencegah denggi.

Menurutnya, masyarakat harus memberi kerjasama kepada petugas kesihatan melakukan pemeriksaan rumah atau semburan kabus, terutama di kawasan kes denggi.

"Sehingga kini, sebanyak 49 OPPI telah dijalankan di seluruh negeri bagi memerangi ancaman denggi," ujarnya.