X

Kindly register in order to view this article
!

'Majlis Fatwa mesyuarat esok kemas kini SOP masjid, surau'

Zulkifli Mohamad Al-Bakri. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Majlis Fatwa Kebangsaan akan bermesyuarat esok bagi memperhalusi Prosedur Operasi Standart (SOP) di masjid dan surau berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, mesyuarat esok juga akan mengambil kira pelbagai pandangan yang dikemukakan mengenai isu berkenaan.

"Mesyuarat nanti bukan hanya akan membincangkan SOP di kawasan merah sahaja tetapi di semua kawasan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan mengehadkan semula jumlah kehadiran jemaah di masjid dan surau berikutan peningkatan jangkitan Covid-19.

Sementara itu mengulas mengenai pergerakan pengikut Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Zulkifli berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Majlis Agama Islam Johor yang mengharamkan fahaman berkenaan kerana bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Katanya, setakat ini pihaknya tiada sebarang perancangan untuk melakukan perbincangan dengan kumpulan berkenaan yang didakwa telah menular ke negeri lain.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap kumpulan berkenaan, Zulkifli berkata, tindakan ke atas kumpulan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa majlis agama negeri masing-masing.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran KAFA Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di sini hari ini.

Seramai 80 peserta berusia tujuh hingga 12 tahun daripada 10 negeri menyertai pertandingan itu yang julung kali diadakan dalam normal baharu.

Melaka, Kedah, Sabah dan Sarawak bagaimanapun tidak menghantar wakil bagi kejohanan berkenaan berikutan Covid-19.

Bagi kategori Tilawah Al-Quran (lelaki), johan dirangkul oleh Mohamad Hazman Ilias dari Kelantan manakala Ahmad Hazim Azrulrazi dan Ahmad Fahim Aminuddin dari Johor dan Pahang meraih tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori Tilawah Al-Quran (perempuan) Khairunnizifah Imani Ishak dari Johor muncul sebagai johan manakala Nor Afiqah Razali dari Perak (pemenang kedua) dan Nur Zaedatul Amni Mohamad Zaki dari Kelantan di tempat ketiga.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!