Sultan Johor kurnia pingat kepada 'frontliners' Covid-19

Sultan Ibrahim menunjukkan pingat yang akan dikurniakan kepada petugas barisan hadapan bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka. - Foto Royal Press Office
Sultan Ibrahim menunjukkan pingat yang akan dikurniakan kepada petugas barisan hadapan bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka. - Foto Royal Press Office
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang khas sebagai menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan di negeri ini yang berterusan dan bertungkus-lumus memerangi penularan koronavirus (Covid-19).

Baginda bertitah, pingat berserta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terlibat dalam penugasan.

“Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang.

“Teruskan usaha baik anda semua dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini dari terus menular,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini.

Dalam pertemuan itu, Dr Rahim turut mempersembahkan contoh surat akuan berkenaan kepada Sultan Johor.

Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan bendera Johor manakala di bahagian belakang, terdapat rekabentuk 10 tangan memegang erat di antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor.

Artikel Berkaitan:

Pingat yang akan dikurniakan Sultan Johor terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan bendera Johor. - Foto Royal Press Office
Pingat yang akan dikurniakan Sultan Johor terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan bendera Johor. - Foto Royal Press Office

Sultan Johor bertitah, pingat berkenaan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan akan dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing.

“Pingat ini kemudian akan saya sampaikan kepada ketua-ketua jabatan untuk diberikan kepada penerima antaranya Jabatan Kesihatan Johor, polis, tentera, bomba dan lain-lain,” titah baginda.