'Perlu segera tangani isu eksploitasi benih padi'

Phahrolrazi Mohd Zawawi
Phahrolrazi Mohd Zawawi
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan digesa bertindak segera menghantar bekalan benih padi ke kawasan yang telah bersedia untuk memulakan tanaman.

Bekas Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, ia susulan berlaku kelewatan benih padi dan eksploitasi harga menyebabkan petani gagal memulakan tanaman seperti dijadualkan.

Menurutnya, sebahagian petani di Kedah dan Perlis masih tidak memulakan tanaman disebabkan bekalan benih tiada di pasaran.

“Saya sarankan kementerian menggunakan rangkaian Pertubuhan Peladang sebagai saluran mengedarkan benih padi bagi menjamin bekalan sampai kepada petani,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Phahrolrazi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mengakui berasa kesal kerana isu benih padi berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan sehingga kini masih belum diatasi.

“Masalah itu serius dan boleh menjejaskan pengeluaran hasil padi. Para petani tidak dapat menanam padi mengikut jadual ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Kelewatan menanam padi mengikut jadual boleh menyebabkan petani menghadapi masalah saliran air ke petak sawah.

"Bekalan benih padi subsidi tidak mencukupi dan lewat tiba, ada petani terpaksa dapatkan bekalan benih padi di pasaran terbuka dengan harga mahal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ada juga peniaga yang mengambil kesempatan menjual benih padi pada harga terlalu tinggi berikutan petani tiada pilihan selepas petak tanaman telah sedia untuk disemai.

“Pada tahun lepas, Nafas mengemukakan kertas cadangan kepada kementerian supaya melantik Nafas sebagai pengedar tunggal benih padi subsidi mengikut model bekalan baja subsidi, di mana Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memasarkan secara langsung kepada petani pada harga ditetapkan,” katanya.

Phahrolrazi berkata, pihak kementerian perlu membuat keputusan dan tindakan segera berkaitan isu tersebut supaya petani tidak berterusan berdepan masalah benih padi pada masa akan datang.

Kelmarin, Pertubuhan Persaudaaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan susulan masalah kelewatan benih padi dan eksploitasi harga dihadapi petani sejak beberapa musim.

Wakil PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, 41, berkata, jadual menanam padi telah bermula di Perlis dan Kedah sejak 9 September lalu di kawasan fasa 1 dan fasa 2, namun majoriti tidak dapat memulakan tanaman kerana bekalan benih tiada di pasaran.

Katanya, petani juga mengalami masalah kenaikan harga benih yang melampau di sebahagian tempat.

Difahamkan, beberapa kawasan di Kedah dan Perlis mengalami kenaikan harga benih padi yang melampau berikutan bekalan benih yang terhad.

https://www.sinarharian.com.my/article/103546/BERITA/Nasional/Pesawah-kecewa-bekalan-benih-padi-lewat