Pemandu maut, lori muatan asid hidroklorik terbalik

Anggota bomba dan Hazmat yang terlibat dalam operasi tersebut malam tadi.
Anggota bomba dan Hazmat yang terlibat dalam operasi tersebut malam tadi.
A
A
A

BENTONG - Seorang pemandu lori tangki muatan asid hidroklorik maut selepas kenderaan dipandunya itu terlibat kemalangan dan terbalik melintang jalan di Kilometer (KM) 43.2 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur hala timur malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@ Mohd Daud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam itu, mangsa, P Siniwasan, 56, dari Kampung Seri Serendah, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Bentong itu dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas melanggar tembok batu sebelah kanan kemudiannya telah terbalik melintang jalan.

"Akibat pelanggaran tersebut, tangki lori telah pecah mengakibatkan muatan asid hidroklorik bertaburan di atas jalan serta sekitar kawasan kemalangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan lori tangki yang terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak KM43.2 hala timur malam tadi.
Keadaan lori tangki yang terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak KM43.2 hala timur malam tadi.

Menurutnya, pemandu lori tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

"Pasukan Hazmat Bomba telah dipanggil untuk pemantauan dan pembersihan di kawasan kejadian.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan memberitahu, seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, dua jentera FRT, sebuah jentera Hazmat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dan BBP KLCC terlibat dalam operasi tersebut.

Anggota bomba bersama peralatan yang digunakan untuk operasi tersebut.
Anggota bomba bersama peralatan yang digunakan untuk operasi tersebut.

Beliau berkata, sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua pasukan dari Syarikat Malay Sino Chemical Industries Sdn Bhd turut bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

"Operasi mengeluarkan mangsa menggunakan jentera 'wheel loader' untuk mengangkat kepala lori tangki itu serta mengeluarkan mangsa yang tersepit mengambil masa kira-kira setengah jam dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Kerja-kerja peneutralan dan seterusnya memantau proses pemindahan bahan kimia dijalankan untuk memastikan tiada lagi unsur-unsur bahaya di lokasi kejadian," katanya.