X

Kindly register in order to view this article
!

Gagal seludup 3.87 tan ayam sejuk beku

Cubaan menyeludup masuk ayam sejuk beku seberat 3.87 tan secara tidak sah ke negara ini gagal apabila kegiataan itu berjaya dipatahkan oleh PGA Batalion 7 Kuantan malam tadi.
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan menyeludup ayam sejuk beku seberat 3.87 tan secara tidak sah ke negara ini gagal apabila kegiatan itu berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintenden Azhari Nusi berkata, ayam sejuk beku bernilai RM38,700 itu dirampas selepas pihaknya berjaya menahan sebuah lori di jalan Lubok Jong, Pasir Mas.

Menurutnya, bertindak atas maklumat penyeludupan, sepasukan anggota PGA yang sedang melakukan rondaan telah mengesan sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lebuhraya Rantau Panjang - Pasir Mas pada jam 7.30 malam.

"Sejurus melihat kenderaan itu anggota PGA terus mengekori dan kemudian berjaya menahan lori tersebut di jalan Lubok Jong, Pasir Mas.

"Penahanan lori itu membawa kepada penemuan ayam sejuk beku seberat 3.87 tan yang dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan pemandu lori berkenaan yang berusia 23 tahun dan kelindannya berusia 34 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran lori tidak sama seperti maklumat yang dikemukakan di dalam dokumen.

"Pemandu dan kelindan serta semua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori yang digunakan untuk aktiviti menyeludup itu dianggarkan berjumlah RM148,700," katanya.

Azhari berkata, hasil risikan awal, ayam sejuk beku itu dibawa masuk melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

"Ayam-ayam ini dibawa masuk tanpa membuat pengisytiharan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Kes disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!