Padah ingkar SOP Covid-19

No Image Caption
A
A
A

AWAS Malaysia! Perang rakyat Malaysia terhadap pandemik koronavirus (Covid-19) agak getir susulan spekulasi gelombang ketiga bakal melanda negara ini. Ia berikutan kewujudan drastik jumlah kes positif dan kluster baharu sejak kebelakangan ini.

Spekulasi itu semakin memuncak selepas laporan rekod kes-kes positif jangkitan Covid-19 kembali mencatat tiga angka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menyuarakan kekhuatiran dengan memberi amaran kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau mengingatkan bahawa Malaysia dijangka memasuki gelombang ketiga Covid-19 selari dengan trend peningkatan jumlah kes di seluruh dunia.

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat bimbang dengan trend peningkatan tersebut dan telah memberi peringatan hampir saban hari kepada semua pihak kerana sememangnya selari dengan aliran peningkatan jumlah kes dan kematian Covid-19 global.

Kolum lidah pengarang akhbar harian, Makkal Osai menyatakan bahawa tiga minggu akan datang menjadi penentu kepada gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang semakin mengganas itu menjadi realiti. Sekiranya rakyat Malaysia bersikap leka dan tidak mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya, tentu sekali mereka terpaksa menghadapi ancaman pandemik yang lebih parah.

Tegas Makkal Osai lagi, amaran demi amaran daripada KKM mengenai tempoh tiga minggu akan datang menggambarkan betapa seriusnya Malaysia berada dalam zon bahaya itu.

Kewujudan kluster-kluster baharu, yang berlaku di beberapa daerah dan negeri yang sudah pun berada di zon hijau turut merumitkan lagi suasana aman dan selesa sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, sekolah, pusat beli-belah, hospital, pusat kesihatan dan gelanggang badminton yang sebelum ini dibenar untuk kegunaan orang ramai kembali menjadi kawasan larangan di beberapa lokasi akibat jangkitan Covid-19.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru selesai turut menyebabkan peningkatan kes-kes baharu di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Senario itu telah memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin politik untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara berbanding kepentingan parti politik masing-masing.

Kuarantin

PRN Sabah telah selesai tetapi petugas barisan hadapan terpaksa memikul tanggungjawab lebih berat dengan menjalankan ujian saringan dan prosedur kuarantin bagi mengesan jangkitan Covid-19. Pihak KKM juga perlu memastikan pengundi yang telah pulang dari negeri di bawah bayu itu mematuhi SOP yang ditetapkan dan menjalani kua-rantin selama 14 hari di rumah.

Ketidaktentuan kestabilan politik negara tidak sepatutnya diperjudikan oleh pemimpin-pemimpin dan parti-parti politik kerana natijahnya amat besar sehingga merumitkan kelangsungan hidup seluruh rakyat serta petugas barisan hadapan.

Jumlah petugas barisan hadapan yang sedia ada di Malaysia amat kecil. Jika Malaysia dilanda gelombang lebih besar, pastinya kerajaan dan KKM sukar untuk mengawal keadaan tersebut.

Implikasinya, jumlah kumulatif kes positif jangkitan Covid-19 terus pantas meningkat dan nyawa orang awam akan terancam.

Menyedari hakikat sebenar bahawa virus Covid-19 masih berada dalam komuniti tempatan, agenda politik yang membawa perubahan besar kepada situasi semasa negara wajar ditangguhkan dahulu. Sebaliknya, usahakan lebih banyak langkah bagi memulihkan kembali keadaan ekonomi negara yang kurang stabil gara-gara pelaksanaan PKP. Ketidakstabilan politik cukup memberi implikasi buruk kepada imej negara di mata dunia.

Ia turut mengganggu segala tinda-kan murni kerajaan dalam mewujudkan peluang pekerjaan, pembukaan semula sempadan negara, urusan perniagaan eksport dan import serta menstabilkan mata wang tempatan dan sebagainya. Jadi, utamakan kepentingan rakyat dan negara serta doakan agar spekulasi gelombang ketiga virus Covid-19 tidak menjadi kenyataan.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor