Negeri Sembilan ikat Kelantan di Kota Bharu

Mohamad Amirul Shafik (kiri) bersama dua rakan sepasukan meraikan jaringan yang dihasilkannya pada minit ke-28. Foto Ihsan Hazmin Husin (Orang Muda)
Mohamad Amirul Shafik (kiri) bersama dua rakan sepasukan meraikan jaringan yang dihasilkannya pada minit ke-28. Foto Ihsan Hazmin Husin (Orang Muda)
A
A
A

NEGERI Sembilan bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Kelantan dengan keputusan seri 2-2 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi.

Negeri Sembilan terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Jose Neto pada minit ke-14. Sepakan itu berpunca daripada tindakan pertahanan Kelantan, Mohamad Khairul Asyraf Ramli yang menjatuhkan Nur Shamie Iszuan Amin.

Tersentak dengan jaringan awal pelawat, Kelantan bangkit mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan Mohammad Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-28.

Pemain muda, Mohammad Amirul Shafik hampir menambah jaringan kedua The Red Warriors (TRW), namun rembatannya sekadar melepasi gawang Negeri Sembilan pada minit ke-35.

Pada babak kedua, Kelantan cuba menggandakan jaringan tetapi ketumpulan penyudah menggagalkan hasrat itu walaupun mereka memiliki deretan peluang terhidang.

Pada minit ke-55, Mohamad Fikri menyelamatkan gawang gol Kelantan daripada dibocori apabila menepis tandukan silang pemain pelawat, Izaaq Izhan Yuswardi.

Jaringan kedua Kelantan hampir menjelma pada minit ke-74, namun rembatan Muhammad Hakimi Abdullah berjaya diselamatkan oleh pemain pertahanan pelawat.

Gol yang dicari TRW akhirnya kunjung tiba pada minit ke-82 apabila perancang tengah sensasi, Nik Akif Syahiran Nik Mat tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Artikel Berkaitan:

Ketika Kelantan hampir membawa pulang tiga mata penuh, Igor Carneiro muncul watak pemusnah apabila meledak gol penyamaan Negeri Sembilan pada minit ke-87.