Islam memartabatkan sastera

No Image Caption
A
A
A

SASTERA Melayu telah mencapai pelbagai kemajuan. Sejarah pertumbuhan dan perkembangannya sejajar dengan takdir sastera dunia. Dari sudut genre, corak, aliran dan tamadunnya, paralel dengan peradaban sastera antarabangsa, dan menjadi sebahagian daripada keluarga sastera dunia.

Bermula dengan sastera tradisional, yang bersifat lisan dengan jampi mantera, pantun dan lipur lara, didatangi oleh Ramayana dan Mahabharata dengan gurindam dan seloka; kemudian dikunjungi pula oleh syair, risalah, hikayat, sastera kanun dan tasawuf.

Kehadiran Islam telah menghijrahkannya kepada sastera yang akliah, disucikan daripada segala khurafat dan tahyulnya. Animisme telah dicabut daripada akar tunjangnya, digantikan dengan paksi ketauhidan.

Menurut tokoh Syauqi Dhaif (1969) dalam Al-Adab fi al-Asri al-Islami (Sastera dalam Zaman Islam), sejak zaman Rasulullah lagi, para penyair ditanamkan rasa pengabdian, meletakkan fitrah asal manusia, untuk tujuan penyerahan dan tawaduk sebagai makhluk kepada Khaliqnya.

Taabudiyah konsep sastera Islam yang luas, seluas Islam itu sendiri. Kegiatan berkarya, dikawal oleh tuntutan syiar Islam, iaitu mentasawurkan kehidupan Islam, yang berpegang teguh kepada akidah, syariat dan akhlak Islami.

Dalam konteksnya ini, semua pengarang Muslim perlu sedar akan tanggungjawab dan peranan mereka dalam menghasilkan karya Islam supaya ia menjadi pedoman, bimbingan dan hijab dalam berkarya.

Kriteria utama sastera Islam adalah untuk menguatkan akidah, meluruskan syariat dan meninggikan akhlak. Penguatan akidah ialah membimbing ke arah memperteguh iman dan kepercayaan.

Perjuangan karya sastera ke arah ini, tidak pernah selesai, sejak Islam ditegakkan pada zaman Junjungan hingga dewasa ini. Syariat pula menunaikan segala amal ibadat, untuk menuju hamba yang muttaqin dan insan kamil. Pelestarian akhlak, merujuk kepada hubungan ALLAH dan manusia. Tugas pengarang adalah untuk menyempurnakan akhlak, karya mengasuh dan merawat segala permasalahan sahsiah dan ummah.

Artikel Berkaitan:

Akidah

Dekad 1970-an dan 1980-an adalah zaman kemeriahan sastera Islam. Banyak teks puisi, cerpen, novel dan drama telah dihasilkan. Kesedaran tentang sastera Islam, telah menjadi alternatif kepada sebahagian pengarang negara.

Khalayak pun mendapat pengalaman baharu untuk menyelesaikan pelbagai masalah hidup melalui teks-teks sastera Islam itu. Nama-nama seperti Shahnon Ahmad, Hassan Ali, Kemala, Shafie Abu Bakar, Suhaimi Haji Muhammad, Nurhisyam Mustafa, Abdullah Husain, Noordin Hassan dan A. Rahim Abdullah adalah antara yang menjadi sebutan.Dalam Sastera Islam di Malaysia (1983), kecenderungan pengarang waktu itu, saya simpulkan sebagai karya yang membawa masyarakatnya ke arah kesedaran dan kebangkitan Islam sejati. Wahana sastera berperanan menyuguhkan fungsi dakwah dan maqasid seni, untuk memberi kefahaman Islam yang syumul kepada khalayak.Banyak persidangan dianjurkan. Tokoh-tokoh besar seperti Yusof Zaky Yaacob, Ismail Ibrahim, Ismail Hamid, Mohd Uthman al-Muhammady, Mohd Kamal Hassan dan lain-lainnya banyak memberi sumbangan fikiran; selari dengan tokoh luar negara, Syauqi Dhaif, Abbas Mahmud al-Akkad, Syed Qutb dan Muhammad Qutb, yang mewacanakan penteorian dan kaedah menulis sastera Islam. Gagasan dan konsep sastera Islam tokoh-tokoh berwibawa itu, saya kumpulkan dalam Ke arah Pematangan Sastera Islam (1989).Kedudukan mubah atau harus, yang dihukumkan oleh para ulama terhadap semua bentuk kesenian, perlu difahami dan dipertahankan.

Bersastera itu dibenarkan, bergantung pada muatan dan matannya. Justeru, ciri utama sastera Islam ialah selagi ia tidak bertentangan dengan akidah, syariat dan prinsip hidup Islam, maka ia dibenarkan. Elakkan penulisan yang terjerumus kepada makruh dan haram.

Kedua, sastera Islam menghargai hidup, mengajak manusia menilai diri dan fungsi kejadiannya, serta mengarah kepada kebaikan untuk memancarkan nilai-nilai hidup Islam. Ketiga, sastera harus menentang apa juga bentuk kezaliman dan kebatilan. Bersikap adil dengan meletakkan sesuatu di tempatnya, dan menghormati semua manusia.

Batin

Keempat, ia ditulis dengan niat sebagai ibadat, bagi mendapat keredaan ALLAH; seperti kata Shahnon Ahmad, berniat kerana ALLAH berhikmah untuk manusia. Kelima, memelihara hubungan manusia dengan Tuhan, sebagai hubungan taabudiyah, dan hubungan manusia sesama manusia sebagai hubungan insaniyah.

Keenam, mengungguli wahana dakwah dan memegang konsep amar makruf nahi mungkar. Justeru, naratif pengkaryaannya tunduk menurut landasan Islam.

Menurut Syed Qutub (1984), “sastera Islami itu bukan sahaja membicarakan mengenai Islam semata-mata, bahkan apa sahaja penceritaan yang terbit daripada jiwa yang dipenuhi dengan gelojak perasaan keislaman.”

Terdapat dua jenis pencorakan penulisan: al-awami dan al-khassi. Al-awami memperlihatkan beberapa ciri atau unsur sastera Islam, berkaitan dengan kehidupan beragama baik dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Al-khassi benar-benar memenuhi konsep sastera Islam seperti bercorak tasawuf. Teks masuk ke dalam batin, merasakan kenikmatan zauk atas hubungan dengan Pencipta.

Dalam konteks penulisan, seseorang itu boleh bermula dengan al-awami dan kemudian al-khassi. Semua subjek dan persoalan dapat diangkat, kepelbagaian teknik dan stail juga boleh diaplikasikan, asalkan ditulis dalam konteks manhaj Islami.

Penulis al-awami yang sekali sekala terpanggil menulis sastera Islam seperti Hasanuddin Mat Isa dengan Mereka Yang Tertewas (1988), Abdullah Husain dengan Imam (1995) Mana Sikana, Syajar (1996) dan Shahnon Ahmad dengan Mahabbah (2007). Penulis al-khassi pula seperti Kemala yang antara karya pentingnya Mim (1999) dan Suhaimi Haji Muhammad, Wujud (1996).

Junjungan pernah bersabda, mafhumnya, “Islam dimulai dengan asing dan akan kembali seperti mulanya asing, bergembiralah orang yang asing”. Ibrahnya, sastera Islam bermula asing, mengalami zaman gemilang, tetapi kini dalam kegersangan. Allah berjanji akan memberi kegembiraan, iaitu syurga kepada mereka yang berkarya untuk menegakkan syiar Islam. Justeru itu, pengarang digesa menghasilkan karya-karya al-awami atau al-khassi untuk membimbing ke arah masyarakat Islami.

Demikianlah, sastera Islam itu sebagai lampu suluh dalam bidang sastera. Ia bertindak sebagai penyaring dan pendorong ke arah penulisan sastera yang menuju siratul mustaqim.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia