Selaras undang-undang Islam

A
A
A

UNDANG-undang Islam seharusnya menjadi teras kepada sistem perundangan di Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kedudukan istimewa kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 3 itu menegaskan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi merupakan agama bagi Persekutuan. Malah, mahkamah juga telah memberi tafsiran kepada Perkara 3 bagi menjelaskan kedudukan Islam itu sendiri.

Misalnya, dalam satu kes Mahkamah Tinggi iaitu Meor Atiqurrahman lawan Fatimah Sihi Hakim Mohd Noor memutuskan: “Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah agama utama antara agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak.

Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi teguh dan terang. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan.”

Dalam satu kes Mahkamah Persekutuan iaitu Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula, Hakim Ahmad Fairuz memutuskan: “Islam itu bukan suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.”

Tingginya kedudukan undang-undang Islam itu juga dapat dilihat daripada peruntukan Perlembagaan yang lain seperti Perkara 150(6A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa legislatif semasa darurat pun tidak boleh melibatkan perkara-perkara berkaitan dengan antara lainnya undang-undang Islam.

Kuasa diperoleh legislatif dalam darurat tidak boleh memberi kesan kepada undang-undang Islam tetapi masih perlu dilakukan melalui prosedur khusus dan persetujuan majoriti diperolehi berdasarkan Perkara 159 dan 161E.

Begitulah tingginya kedudukan undang-undang Islam di Malaysia. Ia disebabkan sifat Perlembagaan itu sendiri yang mengabsahkan susun atur dan persetujuan masyarakat setempat bedasarkan lunas-lunas sejarah norma lazim dan persetujuan bersama.

Artikel Berkaitan:

Seragam

Di Malaysia, selain Wilayah-Wilayah Persekutuan, kuasa membuat undang-undang Islam terletak di bawah kuasa negeri-negeri seperti yang tercatat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif untuk menyelaras dan menyeragam undang-undang Islam agar ia tidak berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Jakim pada pertengahan tahun 1980-an telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Syarak. Jawatankuasa itu akan mendapat makluman daripada pelbagai pihak berkaitan keperluan sesuatu perundangan Islam.

Prosedur rumit itu bagi mengelak isu mengambil kuasa negeri dalam menggubal undang-undang Islam timbul. Ia juga bagi memastikan pakar syariah memberi input kepada penggubalan undang-undang Islam agar ia tidak tersasar.

Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 di Selangor yang digubal waktu penjajahan telah mengumpul hampir semua perkara mengenai Islam seperti penubuhan majlis agama dan mahkamah syariah, mufti, kesalahan jenayah syariah, tatacara dan keterangan mahkamah, baitulmal, nikah cerai dan banyak lagi.

Tetapi evolusi perundangan syariah sekarang telah berjaya mengasingkan undang-undang tersebut mengikut bidang masing-masing agar ia menjadi lebih komprehensif.

Hasilnya, terdapat pelbagai undang-undang di Malaysia mengenai agama Islam. Semua undang-undang yang digubal itu tidak lagi berpaksikan kepada pengaruh penjajah kerana pemikir-pemikir undang-undang tersebut adalah anak watan yang terlatih dalam bidang masing-masing.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia