Persepsi Rasuah: Malaysia naik satu anak tangga

Akhbar Satar
Akhbar Satar
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan ke-61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018, berbanding tempat ke-62 pada tahun lepas.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar, bagaimanapun berkata Malaysia berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 mata dalam tinjauan dilakukan CPI pada tahun lepas.

Skor dalam CPI ditentukan berdasarkan kepada 13 tinjauan dan penilaian daripada pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara mengikut skala sifar (dianggap paling rasuah) sehingga 100 (dianggap paling bersih).

“Di peringkat negara-negara Asean, Malaysia berada di kedudukan ketiga teratas selepas Singapura dan Brunei,” katanya semasa mengumumkan keputusan CPI 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia berada di belakang Singapura (ketiga) dan Brunei (31), namun di depan Indonesia (89), Thailand (99), Filipina (99), Vietnam (117), Myanmar (132), Laos (132) dan Kemboja (161).

Sementara itu, Denmark menduduki tangga pertama negara paling bersih rasuah dengan skor 88, manakala New Zealand di tempat kedua dengan skor 87.

Finland, Singapura, Sweden dan Switzerland, berkongsi di kedudukan ketiga dengan skor dalam CPI 85 mata, menjadikan mereka antara lima negara teratas dalam senarai indeks berkenaan.

Akhbar berkata negara berada di kedudukan terbawah dengan mencatat skor terendah adalah Sudan (16 mata), Korea Utara dan Yaman (14 mata); Sudan Selatan dan Syria (13 mata) dan Somalia (10 mata).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata TI-M juga menggesa kerajaan dan pemimpin negara untuk menunjukkan kepimpinan dan keazaman politik tinggi untuk memerangi habis-habisan gejala rasuah melalui tindakan yang tegas.

“Pada masa sama, semua ahli politik dan pegawai kanan kerajaan seperti Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Polis Negara juga harus mengisytiharkan jumlah aset mereka...perkara itu perlu diwajibkan,” katanya.

Beliau juga percaya Malaysia mampu melonjak ke kedudukan lebih baik pada masa hadapan, jika kerajaan baharu mengekalkan usaha memerangi rasuah dan menunaikan janji mereka.

Malaysia hari ini melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 sebagai usaha komited ke arah negara bebas rasuah.