Singapura catat kes Covid-19 terendah

Singapura merekodkan enam kes positif Covid-19 hari ini iaitu yang paling rendah sejak awal Mac lepas. Foto 123RF
Singapura merekodkan enam kes positif Covid-19 hari ini iaitu yang paling rendah sejak awal Mac lepas. Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Singapura merekodkan enam kes positif Covid-19 hari ini iaitu yang paling rendah sejak awal Mac lepas.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan, Kementerian Kesihatan republik itu memaklumkan kes-kes baharu itu termasuk satu kes dalam komuniti dan empat kes import.

Kementerian itu masih meneliti perincian kes berkenaan.

Perkembangan terkini itu menjadikan jumlah jangkitan di republik itu kepada 57,800 kes.

Sehingga semalam, kementerian itu mengklasifikasikan 1,085 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,253 kes dalam komuniti dan 54,456 melibatkan penghuni asrama.

Kementerian itu memberitahu 57,534 kes telah sembuh sepenuhnya dan 48 kes yang disahkan masih berada di hospital bagaimanapun tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 185 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia berikutan komplikasi akibat Covid-19 di republik itu dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Artikel Berkaitan:

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

Singapura melaporkan kes positif Covid-19 yang pertama pada 23 Januari lalu. - Bernama