Ops Benteng: Kerajaan tingkat kawalan di pantai timur Sabah

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan COVID-19 di Bangunan Perdana Putra, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan COVID-19 di Bangunan Perdana Putra, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan memperkasa pelaksanaan Op Benteng di pantai timur Sabah dengan menambah keanggotaan dan aset pasukan keselamatan memandangkan kemasukan pendatang tanpa izin telah menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19, di negeri itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 hari ini telah bersetuju untuk memperkasa lagi kawalan di pantai timur Sabah seperti di Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

Penambahan aset dan anggota bagi memperkasa Op Benteng akan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, pasukan Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Beliau berkata, penambahan itu perlu memandangkan kawasan pantai timur Sabah luas dan panjang serta mempunyai banyak pulau yang boleh dijadikan transit pendaratan pendatang.

"Pendatang yang ditahan dalam Op Benteng sama ada tanpa izin atau yang berdokumen, mereka tetap akan dikuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah, beberapa prosedur operasi standard (SOP) akan ditetapkan iaitu bagi restoran, kedai atau gerai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi sehingga 8 malam.

Waktu operasi stesen minyak juga antara jam 6 pagi hingga 8 malam; operasi pasar harian dari jam 6 pagi hingga 2 petang dan pasar malam, pasar tani, tamu dan pasar borong dibenarkan beroperasi berdasarkan SOP sedia ada, katanya.

Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mesyuarat turut memutuskan bahawa waktu operasi bagi pintu masuk Kompleks Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru kekal dari jam 7 pagi hingga 7 malam bagi semua kenderaan.

Selain itu, katanya, bagi Kompleks Sultan Abu Bakar atau Link Kedua, di Senai waktu operasi bagi kenderaan berat adalah 24 jam, manakala bagi kenderaan ringan waktu operasi adalah dari 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk anak kapal, beliau berkata, anak kapal yang 'sign on' (atau mula bertugas) adalah diwajibkan menjalani ujian swab.

"Sekiranya negatif, mereka akan dikuarantin selama 14 hari dan sekiranya positif mereka akan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara bagi semua anak kapal yang terlibat Sign Off (atau tamat tugas untuk pulang), katanya, jika kapal mereka berada di perairan Malaysia lebih 14 hari, mereka hanya perlu menjalani ujian swab tanpa kuarantin.

"Bagaimanapun, mereka akan diiringi dari kapal ke lapangan terbang untuk terus pulang ke negara masing-masing," katanya.

Namun, katanya, jika kapal dalam perjalanan dan singgah di pelabuhan negara lain sebelum tiba di Malaysia untuk sign off, mereka perlu menjalani ujian swab serta kuarantin 14 hari.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga memutuskan hanya pemimpin bertaraf menteri dan ke atas sahaja yang dibenarkan masuk ke negara ini atas urusan rasmi dengan pematuhan beberapa SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

"Antaranya semua delegasi termasuk Ketua Delegasi diwajibkan membuat ujian swab tiga hari sebelum tiba di lapangan terbang antarabangsa negara dan sebaik tiba, mereka sekali lagi diwajibkan menjalani ujian swab kedua," katanya.

Selain itu, katanya, kehadiran delegasi pula hanya bagi acara rasmi yang tidak melibatkan orang ramai dengan ketibaan delegasi diiring dari lapangan terbang ke hotel dan seterusnya ke tempat acara dan ke lapangan terbang semula untuk pulang ke negara asal dan kesemua kehadiran delegasi hanya dibenarkan dengan kapal terbang persendirian sahaja.

Bagi pemimpin negara yang perlu ke luar negara atas urusan rasmi demi kepentingan negara, Ismail Sabri berkata, mesyuarat bersetuju untuk membenarkan dengan syarat apabila pulang kelak, mereka perlu dikuarantin selama 14 hari tanpa ada pengecualian bagi sesiapa pun.- Bernama