Jemaah solat Jumaat di Labuan diminta buat saringan Covid-19

Petugas Kementerian Kesihatan melakukan pengambilan sampel semasa menjalankan saringan Covid-19. Gambar hiasan
Petugas Kementerian Kesihatan melakukan pengambilan sampel semasa menjalankan saringan Covid-19. Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Pembeli-belah di dua tapak jualan pakaian terpakai (bundle), penumpang bot laju Menumbok-Labuan dan sekumpulan jemaah solat Jumaat di Labuan diminta menjalani saringan Covid-19 kerana individu yang didapati positif jangkitan virus itu pernah berada di lokasi sama.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, tapak jualan pakaian terpakai yang dimaksudkan ialah Tapak Pesta Bundle Ujana Kewangan antara 17 sehingga 21 September dan Tapak Pesta Bundle bersebelahan Hotel Dorsett Grand Labuan antara 23 hingga 26 September perlu menjalani saringan Covid-19 serta-merta selepas seorang daripada penjual di sana didapati positif terkena jangkitan.

"Turut diminta menjalani saringan dengan segera ialah penumpang bot laju Menumbok- Labuan dan individu yang berada di ruang menunggu Terminal Jeti Menumbok pada 22 September dan mereka yang menunaikan solat Jumaat di Surau Nurul Islam Bandar Labuan (Masjid India) pada 25 September kerana seorang individu yang dijangkiti berada di tempat berkenaan, "katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, pengumuman memanggil individu yang pernah berada di tempat berkenaan menjalani saringan Covid-19 telah dikongsi dengan meluas dalam kalangan masyarakat Labuan dan kumpulan WhatsApp agensi kerajaan dan platform media sosial lain.

“Memandangkan kami mempunyai pesakit dari tapak jualan bundle dan seorang lagi pergi terminal jeti dan surau, kami mengingatkan mereka yang pernah berada di sana menjalani saringan Covid-19 dengan kadar segera,” katanya.

Labuan mencatatkan satu kes baharu Jumaat lepas, menjadikan jumlah kes di pulau bebas cukai itu kepada 29 dengan sifar kematian.

Ismuni juga menggesa mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah supaya mematuhi sepenuhnya arahan itu dan mengamalkan penjarakkan fizikal dengan anggota keluarga termasuk duduk di bilik berasingan dan tidak menggunakan bilik air yang dikongsi dengan yang lain.

Beliau juga mendedahkan lebih daripada 8,000 sampel yang diambil sejak Sabtu lepas untuk saringan Covid-19, kebanyakannya daripada mereka yang baharu kembali dari Sabah.- Bernama

Artikel Berkaitan: