Pemilik PPAM Melinjau bimbang bangunan tidak stabil

Penduduk di PPAM Melinjau meminta pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Penduduk di PPAM Melinjau meminta pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang dihadapi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 600 pemilik kediaman Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melinjau di sini meluahkan rasa bimbang dengan keadaan rumah mereka yang disifatkan tidak stabil.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPAM, Fakrullah Ismail berkata, apa yang menjadi kerisauan penduduk di sini adalah melibatkan soal keselamatan mereka.

Menurutnya, kebimbangan penduduk semakin memuncak apabila mendapati struktur bangunan yang senget dan binaan yang tidak menjamin keselamatan.

"Struktur utama bangunan iaitu tiang kelihatan tidak sekata dan saiz tidak sama dari tapak asas hingga ke palang setiap tingkat perumahan.

Besi binaan yang kelihatan pada bahagian luar unit rumah PPAM, Putrajaya hari ini.
Besi binaan yang kelihatan pada bahagian luar unit rumah PPAM, Putrajaya hari ini.

"Kemudian, kalau kita lihat di kawasan siar kaki hingga ke bumbung, pembinaannya gagal mematuhi piawaian dan spesifikasi bangunan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar berhubung kecacatan bangunan PPAM Melinjau di Foyer Dewan PPAM Melinjau, Presint 11, Putrajaya hari ini.

Katanya, terdapat juga besi binaan di bahagian luar unit rumah sekali gus melibatkan ketahanan bangunan.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkan unit rumah dah siap, tapi buka tingkap kita boleh tengok ada lebihan cerucuk. Jadi dalam soal keselamatan, memang sangat risau.

"Malah, lif penumpang tidak diselenggara dengan baik, kotor dan dinding lif hanya diletakkan papan nipis," katanya.

Tun Faisal (kiri) meninjau keadaan di PPAM Melinjau, Putrajaya hari ini.
Tun Faisal (kiri) meninjau keadaan di PPAM Melinjau, Putrajaya hari ini.

Seorang penduduk, Mohamad Amsyari Mohamad Suhaimi berkata, mereka amat kecewa dengan keadaan bangunan yang sangat teruk binaannya itu.

"Jangan utamakan keuntungan semata-mata dan tidak mengendahkan keselamatan penduduk.

"Saya memohon agar dapat diadakan satu kajian mengenai nilai bangunan dan unit rumah yang dibina berikutan keadaan yang tidak sempurna dalam pembinaannya," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz hadir yang meninjau PPAM Melinjau di sini berkata, pihaknya akan membawa is u berkenaan kepada pihak Perbadanan Putrajaya (PPj).

"Saya lihat ada beberapa isu yang dibangkitkan oleh penduduk terutamanya melibatkan keadaan di bangunan ini.

"Isu paling utama adalah penduduk melahirkan kerisauan terhadap keselamatan mereka dan beberapa perkara ini saya akan bawakan kepada PPj.

"Pada masa yang sama, perbincangan dan pertemuan bersama pihak yang bertanggungjawab perlu diadakan segera," katanya.

Pada 19 September lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, pihaknya akan merujuk isu tersebut kepada PPj bagi menyelesaikan isu struktur bangunan PPAM Melinjau yang mencetuskan kebimbangan penduduk di situ.