JDT damba kejayaan antarabangsa

Benjamin Mora
Benjamin Mora
A
A
A

SELEPAS merangkul kejuaraan Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) merasakan sudah tiba masa untuk 'terbang lebih tinggi' dengan menempa kejayaan di peringkat antarabangsa.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora mengakui tidak mampu menolak keinginan itu walaupun tahu taruhannya adalah tinggi.

Namun begitu, berdasarkan rekod kecemerlangan dalam liga profesional tempatan, beliau yakin anak buahnya mampu menunjukkan taring bersaing dengan pasukan gah antarabangsa.

"Sudah tentu, kita perlu mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, namun kita harus bermain dengan lebih baik. Bukan mudah untuk meletakkan Johor dan JDT pada tahap itu.

“Ada pasukan yang telah bertahun-tahun berusaha (mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa) namun JDT menjadi pasukan yang mantap dengan cepat,” katanya pada sidang media selepas menumpaskan Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

"Jangan lupa, revolusi JDT cuma bermula pada 2013 selepas TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) mengambil alih pasukan ini dan sekarang, lihatlah apa yang telah dilakukannya.

"Beliau telah membina sebuah empayar serta budaya kemenangan dan kita harus terus mengorak langkah seterusnya," katanya.

Kemenangan malam tadi mengesahkan kejuaraan Liga Super yang ketujuh berturut-turut skuad Harimau Selatan itu sejak 2014 sekalipun saingan masih berbaki satu perlawanan.

Artikel Berkaitan: