Donald Trump masuk hospital

Trump menunjukkan isyarat bagus ketika menuju ke helikopter Marine One untuk dibawa ke Hospital Walter Reed di luar Washington semalam. - Foto: AFP
Trump menunjukkan isyarat bagus ketika menuju ke helikopter Marine One untuk dibawa ke Hospital Walter Reed di luar Washington semalam. - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tampil di khalayak ramai buat pertama kali semalam sejak beliau disahkan positif koronavirus (Covid-19), lima minggu sebelum Pilihan Raya Presiden AS 2020 berlangsung pada 3 November depan.

Bilionair hartanah tersebut yang memakai pelitup muka dilihat keluar meninggalkan Rumah Putih menuju ke helikopter rasmi presiden, Marine One sambil menunjukkan isyarat bagus ketika beliau mahu dibawa ke hospital tentera.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang luar biasa. Saya akan dirawat di Hospital Walter Reed. Saya dan Wanita Pertama berada dalam keadaan baik dan kami akan memastikan semua perkara berjalan lancar," katanya menerusi rakaman video berdurasi 18 saat di Twitter.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar, Kayleigh McEnany memaklumkan Trump diberikan ubat antivirus, remdesivir atas nasihat pakar dan beliau juga tidak memerlukan bantuan oksigen tambahan.

"Pakar perubatan menyarankan Trump bekerja dari pejabat presiden di Walter Reed untuk tempoh beberapa hari akan datang. Keadaan beliau yang mengalami gejala ringan akan terus dipantau supaya ia tidak menjadi lebih teruk," ujarnya.

Terdahulu, doktor Rumah Putih, Sean Conley mengesahkan Trump turut diberikan dos tunggal koktel antibodi Regeneron, rawatan yang masih belum mendapat kelulusan pengawal selia perubatan.

Keputusan untuk merawat Trump di hospital di luar Washington tersebut dibuat selepas Presiden ke-45 AS yang berusia 74 tahun itu dikatakan 90 kali ganda berisiko meninggal dunia akibat komplikasi virus terbabit berbanding pesakit yang berumur antara 18 dan 29 tahun.

Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS juga mendapati lapan daripada 10 kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan di negara itu melibatkan pesakit berusia 65 tahun dan ke atas.

Artikel Berkaitan:

"Individu berusia dalam lingkungan 60-an dan 70-an secara umumnya berisiko tinggi diserang beberapa penyakit berbanding golongan 50-an," jelas CDC.

Selain itu, faktor lain yang diambil kira adalah berat pemimpin tersebut yang tergolong dalam obesiti morbid.

"Indeks Jisim Tubuh (BMI) beliau adalah lebih 30 berdasarkan kiraan ketinggian 190 sentimeter dan beratnya 110.6 kilogram," kata Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi yang pernah memberi amaran kepada Trump supaya tidak mengambil hydroxychloroquine yang sebelum ini disarankan untuk merawat Covid-19.

Trump mula mengambil ubat antimalaria tersebut selepas salah seorang valet peribadi beliau disahkan positif virus tersebut.

"Pengambilan hydroxychloroquine sememangnya berisiko tinggi kerana Trump mengalami masalah jantung dan turut mengambil ubat bagi mengurangkan tahap kolestrol dalam tubuhnya," jelas Pelosi lagi.

Dalam perkembangan lain, kempen pemilihan semula Trump memberitahu kesemua acara berkempen melibatkan beliau akan ditangguhkan atau diadakan secara maya malah penyertaannya dalam debat pusingan kedua bersama calon Parti Demokrat, Joe Biden yang dijadualkan pada 15 Oktober ini juga masih samar-samar.

Ketika ini, usaha mengenal pasti kontak rapat Trump sedang dilakukan selepas beliau dipercayai dijangkiti virus itu susulan pembantu kanannya Hope Hicks didiagnos positif Covid-19 yang turut bersamanya dalam beberapa acara sepanjang minggu lalu.

Pemimpin Majoriti Dewan Perwakilan, Steny Hoyer berkata, beliau telah memaklumkan kepada Pelosi berhubung langkah segera untuk melakukan ujian saringan di Capitol.

"Kami belum membuat sebarang keputusan tentang perkara itu. Kita perlu berbincang dengan pakar perubatan terlebih dahulu," jelasnya.

Beberapa jam selepas Trump mengesahkan keadaannya yang menggemparkan Washington, Senator Utah, Mike Lee dan Senator North Carolina, Thom Tillis menjadi dua anggota Kongres terbaharu yang disahkan positif Covid-19.

Kedua-duanya kini menjalani kuarantin selama 10 hari yang akan berakhir sebelum prosedur mengesahkan pencalonan Amy Coney Barrett untuk mengisi kekosongan di Mahkamah Agung bermula pada 12 Oktober ini.

Sementara itu, jurucakap Wanita Pertama, Melania Trump mengesahkan ujian saringan ke atas anak pasangan itu, Barron, 14, menunjukkan keputusan negatif. - Agensi