Hadiah perpisahan Safawi

SAFAWI Foto: MFL
SAFAWI Foto: MFL
A
A
A

Kejuaraan CIMB Liga Super buat kali ketujuh menjadi hadiah perpisahan terbaik buat Safawi Rasid yang akan terbang ke Portugal malam ini untuk bersama Portimonense SC.

Perkara itu dikongsikan oleh ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora yang turut melakar sejarah peribadi tersendiri mencipta kejuaraan hatrik menjuarai CIMB Liga Super sejak musim 2018.

"Pemain sebenarnya cukup beremosi pada malam ini kerana Safawi akan meninggalkan kami tidak lama lagi.

"Jadi perlawanan ini cukup berlainan kepada kami kerana mahu memberikan sesuatu kepadanya sebelum dia melangkah pergi selain kejayaan ini saya tujukan kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor)," katanya.

Sementara itu, Matthew Davies turut menzahirkan rasa gembira dengan kejuaraan sulung dalam kariernya menjulang CIMB Liga Super selepas menyertai JDT pada awal musim ini walaupun bergelut dengan kecederaan pada pertengahan musim.

Baginya, perasaan ini sangat berbeza dan rasa teruja bersama pasukan yang mempunyai ramai pemain yang berpengalaman serta kemudahan terbaik dalam saingan Liga Malaysia.

"Memang satu perasaan yang sedikit ganjil kerana saya baru sahaja beraksi dalam perlawanan ini (sejak liga tertangguh pada 16 Mac) selepas terpaksa berehat panjang kerana kecederaan.

"Namun, saya berikan pujian kepada semua rakan-rakan sepasukan yang berjaya buktikan dari perlawanan ke tiap perlawanan dan akhirnya kami meraih kejuaraan sekali lagi.

Artikel Berkaitan:

"Sememangnya tekanan untuk menang dalam tiap perlawanan itu pasti ada jika melihat pelaburan yang telah diberikan kepada pasukan ini dan kami membuktikan itu bukan masalah," katanya.

Pada Jumaat, JDT akhirnya mengesahkan kejuaraan selepas berjaya menundukkan Sabah, 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim untuk meninggalkan pencabar tunggal, Perak dengan perbezaan 9 mata dengan baki satu perlawanan.

Diogo meletakkan tuan rumah di depan pada minit-38 pada separuh masa pertama sebelum JDT menunjukkan taring sebenar di babak kedua.

Safawi meledak dua gol pada minit-56 dan 81 selain Leandro Velazquez pada minit-84 manakala gol tunggal Sabah disumbangkan Dennis Buschening pada minit-74.