X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas TKP JaPen meninggal dunia akibat kanser

A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen), Datuk Poziah A. Rahman, 67, meninggal dunia hari ini akibat kanser payudara.

Menantunya, Rafil Izry Shahrool, 36, berkata, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Bukit Jelutong di sini pada 10 pagi, di sisi beliau dan isteri.

"Allahyarham menghidap kanser payudara sejak kira-kira lima tahun lalu dan hanya diketahui oleh orang-orang terdekat kerana tidak mahu orang lain risau mengenai keadaan beliau," katanya ketika ditemui di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham hadir menziarahi jenazah yang dimandikan dan disembahyangkan di masjid berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 selepas zuhur.

Poziah meninggalkan tiga anak, dua menantu dan tiga orang cucu.

Poziah pernah berkhidmat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pegawai Perhubungan Awam Kanan Timbalan Perdana Menteri dari 2004 hingga 2008.

Poziah memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada Jun 1977 sebagai Penolong Pegawai Penerbitan sebelum dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Awam, Ibu Pejabat JaPen dan ditempatkan di Kementerian Kebajikan Masyarakat pada 1982.

Pada Januari 2009, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JaPen sebelum dilantik menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) jabatan itu pada Januari 2011. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!