Covid-19: Kluster Bakawali di Johor terkawal

VIDYANATHAN
VIDYANATHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Orang ramai tidak perlu bimbang dengan Kluster Bakawali yang mencetuskan kes baharu koronavirus (Covid-19) di negeri ini kerana keadaan masih terkawal.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, individu yang didapati positif sudah mendapat rawatan di hospital, manakala kontak rapat mereka sudah dikesan untuk tindakan lanjut.

"Pengesanan kontak secara aktif telah dijalankan di mana sehingga 2 Oktober lalu pada jam 12 tengah hari, seramai 13 kontak rapat telah dikenal pasti positif Covid-19.

"Seramai sembilan kontak rapat tersebut bekerja di tempat kerja yang sama dan merupakan generasi pertama, manakala empat lagi kontak adalah generasi kedua dalam kalangan isi rumah kes positif," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 29 September lalu, negeri Johor melaporkan kluster baharu itu melibatkan sepasang suami isteri yang juga merupakan guru mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah pada 13 hingga 18 September lalu.

Pada 26 September lalu, pasangan itu mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sebelum disahkan positif lalu dirujuk ke Hospital Kluang bagi rawatan lanjut.

Vidyanathan berkata, tindakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah selama 14 hari, penutupan premis yang berkenaan dan proses dekontaminasi telah pun dijalankan.

"Telah dikenal pasti seorang kontak positif merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru. Siasatan dan pengesanan kontak rapat dalam kalangan guru dan murid juga dikenal pasti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua kontak rapat tersebut katanya, telah menjalani ujian Covid-19 dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah selama 14 hari.

Katanya, satu sesi townhall juga diadakan Pejabat Kesihatan Daerah bagi menerangkan langkah-langkah pencegahan di rumah bagi ibu bapa pelajar yang terbabit dengan tindakan kuarantin.

Jabatan Kesihatan negeri juga katanya, kekal melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu bagi menangani peningkatan kes semasa.

"Saringan di pintu-pintu masuk masih dijalankan secara giat dengan pemasangan gelang bagi mereka yang datang dari Sabah dan swab test," katanya.