Solskjaer tidak gentar dengan Kane

Solskjaer (kanan) yakin Maguire mampu hentikan ketajaman Kane.
Solskjaer (kanan) yakin Maguire mampu hentikan ketajaman Kane.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak risau dengan ketajaman penggempur utama Tottenham Hotpsur, Harry Kane apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam esok.

Menurutnya, dia percaya dengan kemampuan barisan pertahanannya apatah lagi mempunyai pemain seperti Harry Maguire yang mampu menghentikan Kane.

"Saya fikir setiap jurulatih akan mempersiapkan pasukan dengan sehabis baik apabila turun berdepan sebuah pasukan yang mempunyai kualiti dan seorang penyerang yang hebat seperti Kane.

"Kane adalah salah seorang penyerang terbaik dunia dan Spurs sudah tentu gembira kerana dia sudah kembali menemui sentuhan dan menjaringkan gol selepas cedera panjang musim lalu.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk mematikan langkahnya. Kami juga mempunyai Maguire di barisan pertahanan yang sudah tidak sabar untuk menentang rakannya di pasukan kebangsaan England itu," katanya.

Kedua-dua pasukan ketika ini menampilkan persembahan kurang bermaya dalam aksi domestik selepas hanya mampu meraih satu kemenangan dalam tiga perlawanan EPL.

Bagaimanapun, pertahanan United dilihat sangat rapuh selepas sudah bolos lima gol daripada empat perlawanan di semua kejohanan yang disertai mereka.

Kane pula sedang berada pada prestasi terbaik selepas meledak enam gol dan lima bantuan gol dalam enam penampilannya di semua kejohanan sekali gus menyaksikan dia bakal menjadi sandaran utama untuk merobek gawang United.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Solskjaer juga memberikan bayangan tidak akan dapat membeli pemain baharu dan menegaskan dia sudah mempunyai pemain yang cukup untuk mengharungi saingan liga musim ini.

"Kami mempunyai pemain yang saya percaya akan mampu memberikan yang terbaik sepanjang musim. Namun, jendela perpindahan belum tertutup dan kami akan melakukan yang terdaya untuk menguatkan pasukan," katanya.