Bangkit daripada PKP, peniaga jadi petani

Tengku Fairunnizam bersama seorang pembantu menunjukkan hasil cili yang dituai.
Tengku Fairunnizam bersama seorang pembantu menunjukkan hasil cili yang dituai.
A
A
A

KUANTAN - Hanya bermodal RM500 pada Februari lalu, seorang peniaga makanan yang nekad menukar haluan menjadi petani kini membuktikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan halangan untuk maju.

Tengku Fairunnizam Tuan Salleh, 45, berkata, dia yang kehilangan sumber pendapatan akibat PKP ketika itu mengambil langkah mengusahakan tanaman cili bara secara fertigasi untuk dijual bagi menyara hidup.

"Dengan modal RM500, saya membeli benih cili, polibag dan paip serta mencari tanah kosong untuk diusahakan. Kaedah fertigasi dipilih kerana ia salah satu teknik moden yang paling sesuai untuk pertanian bandar.

"Alhamdulillah atas sokongan terutama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Syafik Fauzan dan Pengerusi Jawatankuasa Komuniti dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Tarmizi Yusof akhirnya saya memperoleh tanah seluas suku ekar di Kampung SC Taman Guru, Batu 4.1/2 untuk diusahakan," katanya ketika ditemui di kebunnya di sini hari ini.

Cili ditanam menggunakan kaedah fertigasi.
Cili ditanam menggunakan kaedah fertigasi.

Katanya, cili bara dipilih kerana mendapat permintaan yang tinggi di pasaran semasa.

"Tempoh PKP saya dihabiskan dengan berbudi pada tanah. Alhamdulillah ketika itu berjaya memperoleh pulangan dengan hasil pertama cili bara sebanyak 80 kilogram.

"Wang diperoleh itu saya gunakan untuk pusingan modal. Kini harga cili bara bagi pasaran Kuantan boleh mencecah RM20 ke RM25 sekilogram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih jauh, Tengku Fairunnizam berkongsi dengan seorang rakan niaga dengan suntikan modal tambahan sehingga RM50,000 untuk menanam cili di kawasan lebih luas.

"Tanaman cili ini agak mencabar sebenarnya, namun ia cepat memperoleh hasil apabila sekarang saya mampu menjualnya dalam jumlah pukal setiap tiga bulan sekali.

Tengku Fairunnizam di kebun cilinya.
Tengku Fairunnizam di kebun cilinya.

"Mungkin disebabkan negara kita banyak bergantung dengan cili import, jadi tanaman tempatan sememangnya mendapat sambutan di sini. Kebanyakan permintaan dari kawasan setempat iaitu kedai makan, kedai runcit dan pasar harian," katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui berdepan cabaran seperti serangan siput, hama putih, serangga, pokok yang sensitif dengan hujan dan panas serta kawalan perosak.

"Kita menggunakan inisiatif sendiri menghasilkan baja dari bancuhan cecair pembasmi serangga perosak jenis organik.

"Walaupun ia tidak sebagus racun kimia, namun penggunaannya menjadikan serangga susah nak dekat. Pokok pula subur dan menghasilkan buah yang cantik dan berkualiti," katanya.

Tengku Fairunnizam juga bersyukur kerana sudah mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama anak muda yang mencari pendapatan tambahan.