Wang simpanan RM49,490 lesap ditipu Macau Scam

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM49,490 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku selepas wanita berusia 70-an itu dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Pejabat Pos Seremban.

Menurutnya, suspek memberitahu kononnya mangsa mempunyai kiriman barangan yang mengandungi lapan keping kad kredit.

"Panggilan itu kemudiannya didakwa disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan dan mangsa telah bercakap dengan seorang pegawai penyiasat berpangkat Sarjan.

"Anggota polis tersebut memaklumkan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan kes dadah, yang mana salah seorang suspek yang terlibat dengan mangsa telah ditahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Beliau berkata, suspek memaklumkan kes tersebut masih dalam siasatan dan meminta agar mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa kerana dia merupakan suspek dalam kes tersebut.

"Mangsa diminta memberi kerjasama dan diarahkan memindahkan wang dalam akaunnya ke akaun yang diberikan.

"Mangsa yang terkejut dan terlalu takut, tanpa berfikir panjang terus mengikut arahan 'Sarjan' tersebut dengan membuat transaksi wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di cawangan bank berhampiran ke akaun yang diberikan suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, mangsa melakukan lima transaksi memasukkan wang ke dalam dua akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM49,490.

"Mangsa dimaklumkan bahawa kesemua wang tersebut adalah sebagai wang jaminan dan wang pelindungan berkaitan kes jenayah yang melibatkan mangsa.

"Bagaimanapun, apabila menyedari dirinya ditipu, mangsa terus membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya," katanya.

Dalam kes berlainan, seorang pembantu jualan mengalami kerugian RM6,960 selepas ditipu sindiket Macau Scam hari ini.

Noorzainy berkata, wanita berusia 27 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dari Pos Laju Malaysia memaklumkan terdapat

bungkusan atas namanya yang mengandungi kad pengenalan dan pelbagai kad ATM.

Menurutnya, kesemua barangan itu dikatakan ada kaitan dengan kesalahan jenayah.

"Panggilan mangsa kemudiannya telah disambungkan kepada Koperal Nizam dari Ibu Pejabat Polis Johor.

"Suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan kes jenayah iaitu pengubahan wang haram dan telah meminta mangsa mendedahkan kesemua maklumat perbankan," katanya.

Beliau berkata, suspek turut mengugut mangsa akan ditahan dan direman sekiranya tidak mengikut arahannya.

"Mangsa yang panik dan takut telah memberi maklumat perbankan dalam talian serta dua nombor transaction authorization code (TAC) yang dihantar ke telefon bimbit mangsa kepada suspek.

"Mangsa menyedari dirinya terperangkap dengan sindiket Macau Scam selepas membuat semakan ke atas dua akaun miliknya dan didapati wang telah dipindahkan ke akaun lain," katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

ARTIKEL BERKAITAN: RM23,430 lesap selepas bagi nombor TAC