HIP dijangka beroperasi hujung suku pertama 2021

Halal Integrated Platform (HIP), platform tunggal secara maya yang dibangunkan HDC dijangka mula beroperasi pada penghujung suku pertama 2021.
Halal Integrated Platform (HIP), platform tunggal secara maya yang dibangunkan HDC dijangka mula beroperasi pada penghujung suku pertama 2021.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Halal Integrated Platform (HIP), platform tunggal secara maya yang dibangunkan Halal Development Corporation Bhd (HDC) dijangka mula beroperasi pada penghujung suku pertama 2021.

Pengerusi HDC, Datuk Mahmud Abbas berkata, HIP yang berfungsi sebagai hab perdagangan dalam talian bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan itu kini telah mencapai 70 peratus proses pembangunan iaitu fasa ketiga daripada lima fasa.

“HIP bakal menjadi hab perdagangan dalam talian terbesar yang akan menghimpunkan 200,000 syarikat PKS tempatan yang terlibat dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal.

“Dan dengan platform secara maya ini, perniagaan yang dilakukan tiada bersempadan dan ia menggalakkan internalisasi dan perdagangan merentas sempadan dan negara,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV baru-baru ini.

Menurutnya, keunikan HIP berbanding platform pemasaran dalam talian yang lain adalah PKS yang tidak mempunyai sijil halal boleh mendaftar di HIP dan HDC akan membantu mereka mendapatkan persijilan tersebut.

"HDC turut membantu PKS yang terlibat dari aspek latihan mengikut modul disediakan. Untuk mengembangkan pasaran halal ke peringkat global ia perlu disokong dengan aspek pensijilan halal kerana sijil halal diterima ramai di peringkat antarabangsa manakala logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut diiktiraf di seluruh dunia.

"Setakat ini hanya kira-kira 7,000 daripada 200,000 PKS mempunyai sijil halal dan daripada jumlah itu, hanya 1,500 syarikat sahaja yang mengeksport dan selebihnya menjalankan perniagaan secara domestik,” katanya.

Katanya, justeru itu, HDC menyasarkan sehingga 4,000 permohonan sijil halal dihantar ke JAKIM setiap tahun untuk meningkatkan jumlah syarikat yang mempunyai persijilan tersebut dan berupaya menembusi pasaran eksport halal.

Artikel Berkaitan:

"HIP turut menghimpunkan kesemua komponen utama yang terlibat dalam pembangunan ekosistem dari segi produk dan perkhidmatan yang melibatkan penyertaan lebih 20 rakan kongsi terdiri daripada agensi kerajaan dan pembekal perkhidmatan seperti bank, syarikat insurans dan pusat zakat,” katanya. - Bernama