UIAM Kuantan tangguh pendaftaran penuntut

UIAM tangguh pendaftaran penuntut sesi akademik 2020/2021 hari ini.
UIAM tangguh pendaftaran penuntut sesi akademik 2020/2021 hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan menangguhkan pendaftaran secara bersemuka bagi semua kemasukan penuntut baharu dan lama sesi akademik 2020/2021.

Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Profesor Dr Kamaruzzaman Yunus berkata, penangguhan itu dibuat susulan jangkitan koronavirus (Covid-19) semakin menular dan pendaftaran itu akan ditunda pada satu tarikh ditetapkan kemudian.

Menurutnya, seramai 803 pelajar ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di UIAM Kampus Kuantan pada sesi kemasukan kali ini, disaran menangguhkan cadangan untuk datang mendaftar yang sepatutnya diadakan hari ini.

"Pihak pengurusan universiti memutuskan pendaftaran hanya dilakukan secara dalam talian sepenuhnya sebagai tanda keprihatinan pihak kita menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pejabat Pengarah UIAM Kampus Kuantan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik Covid-19 dan arahan terkini dikeluarkan pihak berkuasa serta Bilik Gerakan Covid-19.

Katanya, pihaknya juga akan membuat pengumuman dari masa ke masa berkaitan sesi akademik, pendaftaran dan sebagainya bagi memberi lebih keselesaan kepada semua pihak.

"Pihak kita menasihatkan semua penuntut supaya bersabar dan memberi tumpuan terhadap pembelajaran secara dalam talian, kemudahan yang ada perlu digunakan sepenuhnya.

"Keputusan tidak membenarkan mereka mendaftar untuk menyambung pengajian masing-masing bertujuan mengelak perkara buruk berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh berhubung dengan Bilik Gerakan Covid-19 UIAM Kampus Kuantan pada waktu pejabat ditalian 09 5704161, Pusat Sehenti Pelajar 09 5704037/4086/4088 dan hotline 5705555.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan saat akhir susahkan pelajar IPT

UniSZA, USIM laksanakan pendaftaran dalam talian