UniSZA, USIM laksanakan pendaftaran dalam talian

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan memulakan proses pendaftaran semua penuntut secara dalam talian susulan peningkatan mendadak kes koronavirus (Covid-19) dalam negara.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, keputusan itu selaras dengan arahan kerajaan dan hebahan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

“UniSZA amat prihatin dan memandang serius kesejahteraan serta keselamatan seluruh pelajar dan warga UniSZA. Oleh itu pengurusan universiti memutuskan bahawa proses pendaftaran semua pelajar adalah secara dalam talian

"Sebarang perubahan baharu dan pekeliling pengurusan universiti akan dimaklumkan kepada pelajar dari masa ke masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut jadual asal, kira-kira 2,173 penuntut ijazah sarjana muda sepatutnya mendaftar pada 18 hingga 20 Oktober nanti di UniSZA.

Sementara itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut membuat penangguhan kemasukan penuntut ke kampus itu secara fizikal atau bersemuka.

Naib Canselornya, Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, pendaftaran penuntut baharu bagi sesi 2020/2021 dalam semua peringkat pengajian akan dilakukan secara dalam talian sepenuhnya.

“Kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik tersebut dan pelajar sedia ada ke kampus juga ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel Berkaitan:

“Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi pelajar baharu dan pelajar sedia ada pula akan dilaksanakan secara dalam talian pada tarikh yang akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pelajar yang berada di kampus boleh kekal berada di kampus atau kolej kediaman masing-masing sehingga pemakluman baharu dikeluarkan bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.