RM23,430 lesap selepas bagi nombor TAC

RM23,430 lesap selepas mangsa juga seorang penjawat awam memberikan nombor TAC kepada individu yang menyamar sebagai pegawai bank. Gambar hiasan.
RM23,430 lesap selepas mangsa juga seorang penjawat awam memberikan nombor TAC kepada individu yang menyamar sebagai pegawai bank. Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam kerugian RM23,430 selepas wang itu dipindahkan dari tiga akaun miliknya, semalam akibat menyerahkan kod pengesahan transaksi (TAC) kepada individu yang menyamar sebagai pegawai bank.

Mangsa berusia 49 tahun itu dipercayai menjadi mangsa penipuan Macau Scam selepas menerima panggilan daripada individu terbabit kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa membuat transaksi dengan sebuah agensi pelancongan dalam talian sebelum dihubungi pegawai bank yang memaklumkan kad kredit miliknya mempunyai tunggakan sebanyak RM4,778.90.

"Mangsa kemudian menghubungi bank negara di talian yang diberikan dan bercakap dengan seorang lelaki dikenali dengan panggilan Mr Lee yang meminta mangsa menyerahkan butiran akaun bank untuk semakan.

"Ketika sedang bercakap, Mr Lee meminta menyerahkan TAC dan mangsa tanpa berfikir panjang terus berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat semakan secara dalam talian dan dapati dua akaun miliknya berkurangan sebanyak RM18,430.

"Sebanyak RM5,000 wang dikeluarkan dalam akaun kad kredit miliknya sewaktu semakan dibuat, menyebabkan mangsa merasakan dirinya diperdaya.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Temerloh, petang semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.