'Saya tak melarikan diri daripada masalah'

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tampil mendedahkan cerita sebenar di sebalik keputusannya untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kelmarin.

Menurut Muhammad Sanusi, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang memerlukan komitmen tinggi ekoran pandemik Covid-19.

Beliau memberitahu, keputusan itu juga tiada kaitan dengan cemuhan ramai pihak terutamanya penyokong bola sepak Kedah berkaitan isu logo baharu skuad Lang Merah mahupun dakwaan kononnya beliau merajuk.

“Saya melepaskan jawatan sebagai Presiden KFA bukan sebab mahu melarikan diri daripada masalah kerana saya hanya akan berbuat demikian selepas semua masalah KFA dapat diselesaikan.

“Surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Timbalan Presiden KFA, Datuk Abdul Rahman Abdullah pada 25 September. Surat bertarikh 24 September itu turut dinyatakan sebab kenapa saya mahu lepaskan jawatan serta tarikh peletakan jawatan berkuatkuasa pada 15 Oktober.

“Semua urusan ini berlaku sebelum isu logo baharu atau nama kelab ditimbulkan. Saya telah tetapkan sasaran untuk selesaikan semua masalah hutang, pendaftaran dan penswastaan FC sebelum 15 Oktober di mana sebahagian besar sudah berjaya diselesaikan.

“Selepas penjenamaan semula sebagai kelab bola sepak, dengan nama baharu Darulaman Football Club (DFC) musim depan, ia kini sebuah entiti bisnes dan pengurusan akan uruskan pasukan bola sepak. Saya boleh fokus pada urusan pembangunan negeri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengenai kecaman ramai pihak berkaitan nama dan logo baharu Lang Merah, beliau menjelaskan, pihaknya berhasrat menganjurkan pertandingan mencipta logo selepas urusan pendaftaran kelab selesai.

Artikel Berkaitan:

“Kita pilih logo dan nama dalam tempoh singkat kerana mengejar tarikh akhir untuk selesaikan urusan pendaftaran yang ditetapkan FAM pada 30 September. Kalau gagal daftar sebagai kelab bola sepak (FC), pasukan tidak dapat beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Oleh kerana berlaku perubahan kerajaan dan pengurusan KFA, urusan berkaitan penubuhan kelab tergendala seketika. Masa terlalu suntuk menyebabkan kita pilih nama dan logo berkenaan agar dokumen dapat dilengkapkan,” ujarnya lagi.

Muhammad Sanusi berkata, pihak pengurusan KFA menerima banyak cadangan logo dan nama kelab yang lebih menarik daripada para peminat dan penyokong setia Kedah.

“Nama dan logo yang cantik-cantik itu nanti boleh dipertimbangkan oleh pengurusan untuk dijadikan logo rasmi kelab. Difahamkan, nama dan logo masih boleh diubah walaupun selepas kelab beraksi,” jelasnya.