Istilah politik nombor

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

PELBAGAI istilah kini dilontar dalam kamus politik negara. Kini politik nombor menjadi istilah paling panas dibahas. Ia menjadi normal baharu politik Malaysia sekarang iaitu normal politik lompat parti untuk meraih bilangan kerusi yang mencukupi.

Di satu pihak, politik berpaling tadah sedang mulai dinormalkan. Alasannya kerana ada ahli politik tidak sehaluan, berdendam dan menerima tawaran yang lebih lumayan. Di satu pihak yang lain, politik mencantas dan memfitnah juga menjadi kelaziman demi mendapat sokongan.

Politik nombor bukan baharu. Sejak demokrasi diperkenalkan, perhitungan undi majoriti dijadikan matlamat sesebuah parti politik. Memenangi bilangan nombor kerusi pilihan raya menjadi keutamaan.

Demokrasi bukan sahaja soal mendapat bilangan undi majoriti dengan menjanjikan segala yang menarik kepada pengundi, malah soal berapa banyak wang yang boleh ditawarkan untuk menarik seseorang yang boleh menambah bilangan kerusi.

Setelah selesai pilihan raya, ada lagi kemungkinan seseorang ahli politik yang menang dapat dipancing untuk melompat parti dan mengubah bilangan kerusi pemerintah mahupun pembangkang.

Yang tadinya menjadi kerajaan, boleh sahaja menjadi pembangkang apabila bilangan kerusi berubah memihak kepada pembangkang dan kerajaan dijatuhkan.

Malang sekali apabila politik negara dicemari, mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tergadai oleh segerombolan parti politik dan ahli Parlimen berpaling tadah serta bermain nombor untuk menjatuhkan sebuah kerajaan pilihan rakyat.

Daripada jutaan pengundi yang memilih wakil bagi menduduki kerusi di Dewan Rakyat, sebahagian 222 ahli Parlimen pula berpolitik sesama sendiri, mengetepikan mandat rakyat dan memutuskan untuk melompat parti serta bergabung untuk mengambil alih Putrajaya.

Lalu wacana politik Malaysia berpindah kepada perbahasan politik survival dan politik perut.

Mungkin ada kebenaran dalam hujah dan alasan bergabung dalam perjanjian politik untuk mempertahan dan merebut kuasa, akan tetapi apabila peralihan sokongan dirundingi, malangnya masih tetap tidak menambah baik keadaan negara.

Soalnya, ada sindrom ‘letih dan penat’ dalam kalangan rakyat mengikuti wacana politik negara. Kini yang sangat diperlukan adalah politik aras tinggi, bukan politik adu domba dan jauh sekali politik fitnah. Politik majoritianisme tidak harus dirosakkan dengan autorianisme.

Artikel Berkaitan:

Rakyat akan mudah menerima jika pemikiran bernas, hujah waras dan bijak diketengahkan. Adab berbincang dan berbahas secara murahan dan tidak beradab dalam Dewan Rakyat amat mengecewakan.

Melihat ahli Parlimen mempamer ucapan liar dan saling menyerang sehingga dewan berubah menjadi medan meluah bahasa yang kasar menyebabkan rakyat tidak ada harapan untuk menikmati politik sihat dan politik bijaksana.

Politik nombor hanya lapisan tipis demokrasi, yang mendapat majoriti dianggap berkuasa tetapi sebenarnya demokrasi lebih besar daripada sekadar nombor. Ia lebih tinggi daripada hanya bilangan kerusi.

Politik nombor terdedah kepada jual beli sokongan. Sering wujud perundingan di belakang tabir. Kadangkala wujud juga ugutan. Politik menunjukkan bilangan nombor adalah rapuh. Perundingan sehingga mencemarkan demokrasi sihat dan menghalalkan yang haram hanya untuk menang.

Apabila insiden demi insiden pencabulan terhadap mandat rakyat dilakukan, nilai politik semakin tidak berharga. Pada akhirnya rakyat masih mengharapkan yang terbaik.

Jika kerajaan berubah melalui nombor, biarlah negara dan rakyat akan semakin bertambah baik juga dari sudut nombor seperti angka pengangguran semakin menurun, hutang negara dikurangkan dan lekuk Covid-19 dileperkan.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu