X

Kindly register in order to view this article
!

Penangan ahli politik

A
A

SEMALAM, saya ada melihat di media sosial, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat hantaran mengatakan beliau sedang duduk-duduk bersantai dengan cucu-cucunya sambil menonton filem P Ramlee. Seronok pula saya melihatnya bahagia, rumah besar dan cukup segalanya.

Kata Datuk Seri, “Isi masa dengan cucu menonton P Ramlee. Usaha tokoh budayawan dalam mendidik masyarakat dengan komedi ringan tetapi sarat dengan pengajaran berguna. Semoga mereka membesar menghargai khazanah seni.”

Kemudian, saya ada membaca pula hantaran oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memberitahu terdapat kes Covid-19 di Terengganu sekarang.

Katanya, “Saya mohon jaga diri dan ahli keluarga kita. Kita masih dalam fasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dan belum menang.”

Saya ada juga membuat komentar kepada hantaran beliau dengan pesanan jaga diri dan menukilkan kata-kata hikmah. Tidak pasti asal usul kata-kata hikmah itu iaitu ‘satu jari tunjuk kepada orang, tiga jari tunjuk kepada diri sendiri.’

Tidak tahulah beliau akan faham kata-kata saya tetapi saya pasti dengan kebijaksanaannya, akan fahamlah kata-kata hikmah yang tidak rumit sangat untuk difikirkan.

Hantaran seterusnya yang saya baca di media sosial oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertungkus-lumus dalam perbicaraan mahkamah.

Kebanyakan hantaran beliau sekarang masih menyentuh tentang Tun Dr Mahathir Mohamad. Masih ada perlawanan mulut dan tulisan. Masing-masing seperti biasa berhujah itu ini dalam menegakkan kebenaran.

Selain itu, Najib sering membuat hantaran mengenai jasa-jasanya sebagai Perdana Menteri. Banyak bantuan kepada rakyat jelata yang diberinya.

Saya ada memberi komen kepada hantaran beliau. Entah kenapa sejak-sejak akhir ini membaca hantaran Najib, saya berasakan seperti kata pepatah Melayu lama ‘bagai melihat ulat’.

Saya memberi komen, “Dahlah. Meluat dah dengar. Ahli politik ini sama sahaja. Gila kuasa. Bantu rakyat itu memang tugas mereka. Ingat rakyat pilih untuk buat kerja percuma? Nak ungkit buat apa?”

Di media sosial sekarang kecoh tentang kecaman terhadap ahli politik, menteri dan yang seangkatan dengannya yang kebanyakan pulang dari Sabah dan dikatakan penyebab penyebaran koronavirus (Covid-19).

Ia semakin merebak dan mungkin menyebabkan akan ada pula arahan untuk kembali kepada kawalan pergerakan seperti yang berlaku sebelum ini.

Mereka yang berniaga kecil-kecilan untuk pendapatan harian mungkin tidak lagi dapat berniaga. Mereka yang tidak dapat hadir kerja mungkin akan dibuang kerja. Anak-anak mungkin tidak dapat ke sekolah.

Terkesan

Mereka yang bekerja dengan kerajaan mungkin tidak terasa impaknya tetapi yang bekerja sendiri dan makan gaji swasta terpaksa menanggungnya seperti yang berlaku sebelum ini. Rakyat terpaksa menggigit jari.

Menteri-menteri, ahli-ahli politik yang dikatakan menjadi punca merebaknya Covid-19 tidak terkesan apa-apa. Makan tidak perlu dirisaukan, gaji dan elaun tiap-tiap bulan ada.

Sesekali mereka akan membuat hantaran di media sosial memberi pesan itu dan ini sambil menyuruh rakyat jelata bersabar. Sesekali memuat naik gambar bersiap sedia untuk mesyuarat dalam talian bersama Exco.

Barisan hadapan kita terpaksa bertungkus-lumus mengekang keadaan itu. Mereka terpaksa menanggung masalah tinggalkan orang politik yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, sebagai rakyat jelata itu sahaja yang kita mampu lakukan. Hanya bising di media sosial dan akhbar untuk menyatakan apa yang tidak puas hati dan merungut itu ini.

Cuma, janganlah kita rakyat jelata seperti kata pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Apabila harga sawit naik, dapat bantuan sara hidup, dapat bantuan itu dan ini, maka lupalah kita kehangatan tahi ayam itu.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!