Biden harap Trump, isteri segera sembuh

Biden tetap mendoakan untuk keselamatan dan kesihatan Trump walaupun debat pusingan pertama berlangsung agak kontroversi pada Selasa lalu. - Foto: Joe Biden/ Twitter
Biden tetap mendoakan untuk keselamatan dan kesihatan Trump walaupun debat pusingan pertama berlangsung agak kontroversi pada Selasa lalu. - Foto: Joe Biden/ Twitter
A
A
A

WASHINGTON - Calon Presiden mewakili Parti Demokrat, Joe Biden menghantar ucapan berharap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan isterinya, Melania akan pulih dengan cepat selepas mereka disahkan positif koronavirus (Covid-19).

"Saya dan isteri (Jill) akan terus mendoakan untuk kesihatan dan keselamatan presiden dan keluarganya," ujar Biden menerusi Twitter, kira-kira tiga hari selepas beliau dan Trump berdepan debat pusingan pertama yang agak panas di Cleveland, Ohio pada Selasa lalu.

Pasangan regu beliau dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020, Kamala Harris turut memuat naik ciapan sama dengan menyatakan beliau dan suaminya, Doug sentiasa mendoakan seluruh keluarga Trump.

Semalam, Trump mengesahkan beliau bersama Wanita Pertama didiagnos positif Covid-19 kira-kira lima minggu menjelang Pilihan Raya Presiden AS 2020.

Trump, 74, membuat pengumuman itu menerusi akaun Twitter miliknya menyatakan, “Malam ini, saya dan @FLOTUS disahkan positif Covid-19. Kami akan menjalani kuarantin dan proses pemulihan dengan segera. Kami akan mengharungi BERSAMA!”

Terdahulu, bilionair hartanah terbabit memberitahu, beliau dan isterinya akan memulakan proses kuarantin sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 selepas pembantu kanannya, Hope Hicks disahkan positif virus tersebut.

Doktor Presiden AS, Sean Conley turut mengeluarkan memo kepada para wartawan berhubung pengesahan ujian terbabit.

“Presiden dan Wanita Pertama berada dalam keadaan baik buat masa ini. Mereka merancang untuk berada di Rumah Putih sepanjang tempoh kuarantin tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan perubatan Rumah Putih bersama saya akan terus memantau keadaan dan memaklumkan perkembangan mereka. Saya menghargai sokongan yang diberikan beberapa profesional dan institusi perubatan terulung di negara ini,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Trump, isteri positif Covid-19

Menurutnya, beliau menjangkakan keadaan itu tidak akan menjejaskan Trump untuk terus menjalankan tugasnya sebagai Presiden walaupun beliau terpaksa membatalkan acara berkempen di Lapangan Terbang Sanford di Florida yang dijadualkan semalam.

Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Judd Deere berkata, Trump memandang serius keadaan keselamatan dan kesihatan beliau serta rakyat Amerika dan semua orang yang bekerja untuk menyokongnya walaupun pemimpin itu sering berdepan kecaman kerana gagal menangani pandemik tersebut dan sering memandang rendah ancaman wabak terbabit.

Tahap sebenar kesihatan Trump bagaimanapun mencetuskan persoalan selepas beliau menjadi kontak rapat kepada Hicks, 31, yang menghabiskan banyak masa bersama beliau dan melakukan beberapa perjalanan termasuk menaiki helikopter rasmi Presiden, Marine One dan pesawat rasmi Presiden, Air Force One sepanjang minggu ini.

Wanita terbabit merupakan salah seorang pembantu paling lama berkhidmat dan paling dipercayai Trump serta pernah menjadi jurucakap kempen beliau untuk Pilihan Raya Presiden AS 2016.

Hicks pada mulanya bertugas sebagai Pengarah Komunikasi dan menyertai semula pentadbiran Rumah Putih pada 2020 sebagai penasihat menjelang pemilihan pada 3 November depan.

Difahamkan, Hicks mengalami simptom ringan ketika pulang daripada perhimpunan kempen pilihan raya Trump di Minnesota pada Rabu lalu dan wanita itu turut dikenakan kuarantin serta diasingkan daripada penumpang lain yang menaiki pesawat sama.

Sehari selepas itu, Trump turut melakukan perjalanan ke New Jersey untuk kempen kumpul dana bagi menjayakan usaha pemilihan semula beliau ke Rumah Putih.

Sebelum ini, beberapa kakitangan Rumah Putih pernah disahkan positif Covid-19 termasuk Katie Miller yang merupakan Setiausaha Akhbar Naib Presiden, Mike Pence; Penasihat Keselamatan Negara, Robert O’Brien dan Kimberly Guilfoyle yang menjalinkan hubungan dengan anak sulung Presiden ke-45 AS itu, Donald Trump Jr. - AFP