X

Kindly register in order to view this article
!

'Tangguh perhimpunan, persidangan skala besar'

Dr Noor Hisham mengadakan sidang media statistik jangkitan berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar semua pihak menangguhkan sebarang bentuk perhimpunan atau persidangan berskala besar berikutan peningkatan kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perhimpunan berskala besar perlu dielak bagi memastikan rantaian Covid-19 di negara ini dapat diputuskan.

“Sekiranya perhimpunan atau persidangan perlu diadakan, setiap penganjur perlu memastikan yang prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dipatuhi oleh semua pihak.

“Kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan semua orang perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, buat masa ini tiada saranan daripada kementerian untuk mengehadkan aktiviti dalam sektor sosial walaupun kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan.

"Kita belum memutuskan dan sedang memerhatikan perkembangan terkini. Kalau kes merebak dengan cepat, (kita) akan lihat pada tindakan susulan," katanya.

Mengenai jangkitan di sekolah, beliau berkata, sekolah akan ditutup selama dua minggu untuk proses nyah kuman dan nyah cemar sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pelajar, guru serta kakitangan.

“KKM sentiasa memantau jangkitan di sekolah dan sekiranya ada guru yang dikesan positif selepas balik dari Sabah, kita akan jalankan saringan kesihatan dan proses nyah cemar (di sekolah terlibat),” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 287 kes positif Covid-19 hari ini

Mengulas laporan kematian seorang guru di Sabah yang didakwa disebabkan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya perlu menjalankan ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) terlebih dahulu bagi mengesahkan sama ada pesakit itu meninggal dunia disebabkan Covid-19 atau tidak.

“Pesakit mengalami sesak nafas dan meninggal dunia, kita telah jalankan ujian RTK Antigen terhadapnya dan keputusannya positif namun ia tidak boleh sahkan yang pesakit positif Covid19 kerana ketepatan ujian ini hanya 80 hingga 85 peratus.

“Sama ada ini kes Covid-19 atau tidak, kita tidak boleh sahkan lagi kerana ujian RT-PCR perlu dilakukan dahulu.

“Sekarang kita sedang ambil tindakan kesihatan awam iaitu menjalankan pengesanan kontak dan lakukan proses nyah cemar,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai akan sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini jangkitan di dalam negara dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia serta akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!