Kes di Sabah meningkat, bilangan anggota agensi KDN ditambah

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius akan peningkatan bilangan kes pandemik Covid-19 yang tinggi dan membimbangkan di Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kesemua agensi di bawah KDN iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Kawalan Sempadan dan Jabatan Imigresen telah diarah memperketatkan lagi kawalan sempadan darat dan laut Sabah daripada pencerobohan migran.

“Saya turut mengarahkan bilangan anggota dan operasi yang terlibat dalam Op Benteng ditambah sebagai langkah memastikan pencerobohan migran yang berkemungkinan membawa Covid-19 dan penyebarannya dalam kalangan rakyat tempatan dapat dikekang.

“KDN akan terus memantau perkembangan terkini di semua lokasi panas yang merupakan titik pendaratan atau lorong-lorong tikus digunakan migran untuk menceroboh masuk ke dalam negara,” menurutnya dalam kenyataan.

Hari ini Bernama melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM akan mengembleng tenaga bagi memastikan prosedur operasi standard bagi mengekang penularan Covid-19 dilaksanakan secara berkesan jika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan semula.

Bernama turut melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 287 kes baharu Covid-19 dicatat dalam tempoh 24 jam lepas dan ia merupakan jumlah kes harian tertinggi pernah direkod sejak permulaan pandemik itu di Malaysia.

Kesemua kes adalah penularan tempatan dan perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul setakat ini berjumlah 11,771 dengan kes aktif sebanyak 1,540. - Bernama

Artikel Berkaitan: