Covid-19: Sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus ditutup

Gambar hiasan. - Gambar kecil:Dr Nor Azimi Yunus
Gambar hiasan. - Gambar kecil:Dr Nor Azimi Yunus
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus ditutup sementara bermula hari ini selepas seorang guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang pulang dari Sabah disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Berikutan itu seramai 90 individu terdiri daripada 62 orang murid, 23 guru dan lima kakitangan sokongan sekolah berkenaan yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada guru terbabit menjalani ujian saringan Covid-19 semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, selain disaring, mereka turut diletakkan di bawah perintah pengawasan dan dikuarantinkan sebagai langkah awal pencegahan penyebaran wabak berkenaan.

“Salah seorang pesakit Covid-19 merupakan guru di salah sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus.

“Sebagai langkah kawalan, sekolah ini ditutup sementara mulai 2 Oktober 2020 dan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh akan dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Nor Azimi, sekolah tersebut telah pun disinfeksi sebaik sahaja guru berkenaan disahkan positif dan proses nyah cemar kedua akan dilakukan pada Isnin depan.

Sementara itu beliau berkata, Terengganu hari ini merekodkan tiga kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes yang aktif sebanyak 11 kes.

“Satu daripada kes baharu ini mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah manakala dua kes merupakan kontak rapat kepada pesakit yang juga baru pulang dari Sabah.

Artikel Berkaitan:

“Semua 11 kes aktif ini telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu bagi rawatan dan pengasingan,” katanya.

Dr Nor Azimi turut meminta individu yang baru pulang dari Sabah atau mana-mana zon merah dalam tempoh 14 hari lalu bersikap jujur dengan menjalani penilaian risiko Covid-19 di mana-mana fasiliti kesihatan di Terengganu.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan, elakkan berkumpul dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) serta amalkan normal baharu,” katanya.