Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur

Pada penutup, FBM KLCI naik 3.53 mata kepada 1,500 daripada 1,496.77 yang dicatatkan pada Khamis.
Pada penutup, FBM KLCI naik 3.53 mata kepada 1,500 daripada 1,496.77 yang dicatatkan pada Khamis.
A
A
A

DAGANGAN di Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini di tengah-tengah pasaran serantau yang lengang apabila pasaran China, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan ditutup sempena cuti nasional mereka masing-masing serta para pelabur mengambil keuntungan menjelang hujung minggu.

Pada penutup, FBM KLCI naik 3.53 mata kepada 1,500 daripada 1,496.77 yang dicatatkan pada Khamis.

Indeks itu dibuka rendah turun 1.93 mata dan berlegar antara paras 1,489.66 dan 1,501.85 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 669 berbanding 373, manakala 393 kaunter tidak berubah, 662 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.47 bilion saham bernilai RM4.08 bilion daripada 4.91 bilion saham bernilai RM2.60 bilion sebelumnya.

Minggu yang akan datang mungkin menyaksikan dagangan berhati-hati susulan berita Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan isterinya Melania disahkan positif koronavirus (Covid-19), memburukkan lagi keadaan tidak menentu sebelum pilihan raya presiden AS bulan depan.

Pergerakan pasaran hari ini dipengaruhi terutamanya oleh kaunter perladangan susulan keputusan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) ke atas minyak sawit dan produk minyak sawit daripada FGV Holdings Bhd, yang menyebabkan saham perladangan lain turut berisiko.

Bagaimanapun, saham wajaran tinggi perladangan seperti Sime Darby Plantation dan IOI Corp melantun semula pada sesi penutup, masing-masing meningkat empat sen kepada RM4.83 dan satu sen kepada RM4.40 yang seterusnya menyelamatkan indeks tersebut daripada terus jatuh.

Artikel Berkaitan:

Kaunter penjagaan kesihatan terus menarik minat yang tinggi susulan peningkatan bilangan kes positif Covid-19 di seluruh dunia.

Hartalega meningkat RM1.24 kepada RM17.50 manakala Top Glove naik 33 sen kepada RM8.76.

Pada penutup, saham wajaran tinggi Maybank turun tujuh sen kepada RM7.11, Public Bank susut empat sen kepada RM15.75, Petronas Chemicals jatuh lima sen kepada RM5.60 dan IHH berkurangan lapan sen kepada RM5.

Dalam kalangan kaunter cergas, XOX naik setengah sen kepada 12 sen, Vsolar susut setengah sen kepada 3.5 sen dan Iris Corp berkurangan 1.5 sen kepada 31 sen.

Kaunter rugi utama diterajui Nestle yang turun 90 sen kepada RM139.60 diikuti Greatech Technology yang susut 24 sen kepada RM6.68, Pharmaniaga yang jatuh 17 sen kepada RM4.53 manakala Imaspro berkurangan 16 sen kepada RM2.15.

Sementara itu, kaunter untung utama diterajui tiga kaunter berkaitan penjagaan kesihatan -- Hartalega meningkat RM1.24 kepada RM17.50, Kossan Rubber melonjak RM1.12 kepada RM14.62 dan Supermax naik 56 sen kepada RM8.98.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 23.08 mata kepada 10,821.70, Indeks FBM Emas Shariah naik 69.06 mata kepada 12,921.63 dan FBM 70 menokok 47.33 mata kepada 14,198.98.

Indeks FBMT 100 meningkat 27.73 mata kepada 10,650.20 dan FBM ACE naik 145.07 mata kepada 10,003.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 57.16 mata kepada 12,379.53, Indeks Perladangan susut 8.68 mata kepada 6,906.81 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 1.05 mata kepada 136.48.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.76 bilion saham bernilai RM2.92 bilion daripada 2.55 bilion saham bernilai RM2.01 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran naik kepada 669.96 juta unit bernilai RM190.87 juta berbanding 384.45 juta unit bernilai RM90.69 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 2.03 bilion saham bernilai RM974.51 juta berbanding 1.98 bilion saham bernilai RM502.98 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 876.63 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (758.50 juta), pembinaan (193.27 juta), teknologi (258.48 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (20.34 juta), hartanah (141.81 juta), perladangan (57.12 juta), REITs (12.73 juta), dana tertutup (41,500), tenaga (215.06 juta), penjagaan kesihatan (151.24 juta), telekomunikasi dan media (30.76 juta), pengangkutan dan logistik (42.55 juta) dan utiliti (10.85 juta). - Bernama