Ah long ditahan ugut bunuh seorang wanita

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki yang disyaki ah long ditahan kerana mengugut akan membunuh seorang wanita jika gagal melunaskan bayaran pinjaman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada jam 4 petang di tempat awam di Kuala Langat, semalam.

"Suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 49 tahun yang mendakwa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang disyaki ah long pada jam 2 petang, Selasa lalu.

"Suspek meminta mangsa untuk membuat bayaran tambahan RM5,000 atas alasan mangsa lewat membayar wang pinjaman mengikut masa yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah membuat pinjaman wang sebanyak RM7,000 dan perlu membayar semula sebanyak RM10,000 kepada sebuah syarikat pemberi pinjaman wang di Seksyen 8, di sini Mac lalu.

"Seminggu selepas menerima wang, mangsa telah membayar semula RM10,000," katanya.

Nik Ezanee memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1951.

Artikel Berkaitan: